SUASANA di sebuah pesawat gamat seketika apabila kenderaan udara itu mengalami gegaran dan dikhuathiri terhempas gara-gara turbulence (gelora udara) ekstrem.
Menerusi video tular, perkara itu menyebabkan penumpang yang berada di dalam pesawat tersebut panik dan menjerit kerana risau akan keselamatan diri masing-masing.
Pada masa sama, beberapa penumpang juga dilihat hampir tercampak dari tempat duduk berikutan keadaan pesawat yang tidak stabil.
Pramugari dan anak kapal yang berada di dalam pesawat itu dilihat bersikap profesional untuk menenangkan keadaan dan duduk berhampiran penumpang.
Difahamkan, video berkenaan berlaku pada 25 Januari lalu dan tular di media sosial sejak Selasa.
Media antarabangsa melaporkan, pesawat Air China CA8524 itu melakukan penerbangan tinggi dari Xian ke Wenzhou.
Penerbangan Air China CA8524 berjaya mendarat di Lapangan Terbang Wenzhou Longwan dan tiada kecederaan dilaporkan akibat kejadian itu.
Sementara itu, syarikat penerbangan berkenaan menyatakan bahawa, mereka sudah melakukan siasatan terhadap insiden tersebut dan mendapati pesawat itu mengalami 'gegaran jangka pendek'.
Menurutnya, kru penerbangan mengendalikan situasi itu mengikut protokol bagi menghalang sebarang kemalangan berlaku.
Syarikat itu berkata, ia akan mengekalkan matlamatnya untuk menyediakan perkhidmatan yang selamat dan efektif kepada para penumpang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram