SUSULAN gambar tular kerusi pesawat penerbangan Air Asia yang dipenuhi dengan pita pelekat kuning baru-baru ini, syarikat penerbangan itu tampil memberi penjelasan berhubung isu yang berlaku.
Ketua Kejuruteraan Air Asia, Alvin Tan dalam satu kenyataan berkata, perkara itu terjadi susulan kekurangan bahan gantian dalaman yang dihadapi oleh pihak syarikat penerbangan terbabit.
"Buat masa sekarang bukan sahaja Air Asia, tetapi rata-rata syarikat lain turut berhadapan dengan masalah yang sama dan kami terpaksa meneruskan penerbangan seperti yang dijadualkan.
"Pita pelekat yang digunakan hanya untuk kegunaan sementara bagi meneruskan penerbangan penumpang seperti dijadualkan.
"Bahan gantian yang dipesan pada Ogos tahun lalu sudah sampai minggu lepas dan kerja-kerja penambahbaikan sedang dilakukan," katanya.
Mengulas lanjut soal isu tular tersebut, jurucakap syarikat tersebut sekali lagi memohon maaf kepada penumpang yang terkesan dengan perkara itu sambil menegaskan bahawa keselamatan penumpang tidak akan pernah diabaikan.
"Kami tak akan meneruskan penerbangan kalau bukan kerana isu kerosakan yang besar, jadi perkara itu hanyalah isu kecil yang tidak melibatkan kerosakan pada pesawat jadi sepatutnya tiada masalah.
"Sekurang-kurangnya penumpang sampai dengan selamat dalam masa yang ditetapkan dan tiada sebarang isu 'flight delay' berlaku," ujarnya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihati untuk tidak membuat spekulasi lanjut berhubung isu tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram