'Untuk apa dokumentari ini?' Netizen pertikai motif Netflix siar siri misteri kehilangan MH370


  • Hiburan
  • Jumaat, 17 Feb 2023

Pesawat MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014 ketika ketika dalam penerbangan dari KLIA ke Beijing, China.

TANGGAL 8 Mac 2014 bukan sahaja menjadi tarikh keramat buat ahli keluarga, malah seluruh rakyat Malaysia terkesan dengan misteri kehilangan MH370.

Menghampiri angka satu dekad, lokasi sebenar pesawat jenis Boeing 777 yang membawa 227 penumpang dari pelbagai negara bersama 12 anak kapal masih misteri selepas hilang tanpa dapat dikesan radar.

Pelbagai teori muncul sehingga ada yang mengatakan pesawat berkenaan mendarat di Lapangan Terbang Diego Garcia iaitu sebuah pulau yang terletak di Lautan Hindi.

Biarpun terdapat bermacam pandangan, yang pasti kisah mengenai misteri kehilangan pesawat itu sentiasa menjadi tarikan.

FILE PHOTO: A woman leaves a message of support and hope for the passengers of the missing Malaysia Airlines MH370 in central Kuala Lumpur March 16, 2014. REUTERS/Damir Sagolj/File photo

Ribuan doa dan ucapan rakyat Malaysia terhadap misteri kehilangan pesawat MH370 yang hilang daripada radar pada Mac 2014.

Begitu juga dengan tayangan dokumentari di platfrom penstriman, Netflix yang tampil dengan kisah kehilangan pesawat itu bertajuk MH370: The Plane That Disappeared.

Bakal memulakan tayangan pada 8 Mac depan, penonton sudah mula mempamerkan pelbagai reaksi terhadap tayangan naskhah arahan Louise Malkinson itu.

Ada yang mempertikaikan motif tayangan siri terbabit kerana sehingga ke hari ini lokasi sebenar pesawat berkenaan masih belum diketahui.

majoriti2023 (16)

Sebahagian komen pengguna media sosial yang berpendapat dokumentari tersebut tidak memberi penyelesaian terhadap misteri kehilangan MH370.

"Sekiranya kita tidak tahu apa yang terjadi, untuk apa dokumentari ini?

"Mengaut untung daripada insiden seperti ini membuatkan saya berasa kurang senang.

"Sekiranya kita tidak tahu apa yang berlaku, jadi tujuan apa program ini dilakukan?

"Apa yang saya maksudkan, jika anda masih belum tahu apa yang berlaku atau siapa yang bertanggungjawab jadi untuk apa semua ini? Hipotisis?" luah mengguna media sosial di Twitter.

Dalam pada itu, terdapat juga yang meluahkan rasa simpati dan bersedih terhadap apa yang berlaku ke atas ahli keluarga dan mangsa.

"Sebagai rakyat Malaysia saya berasa sedih dengan tragedi ini dan bersimpati kepada keluarga mangsa sehingga ke hari ini. Ketika itu saya berusia 17 tahun, boleh dikatakan setiap hari saya akan menunggu di depan televisyen untuk mendengar berita baik tentang pesawat ini. Lebih menyedihkan apabila kereta mangsa yang diletakkan di KLIA diselaputi debu sehingga ke hari ini," ujarnya.

Biarpun masih penuh dengan tanda tanya, rakyat Malaysia tetap mengharapkan yang terbaik buat penumpang pesawat berkenaan.

Untuk rekod, pesawat MH370 dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram