[VIDEO] Penumpang malu pesawat bertaraf dunia guna pelekat kuning 'ikat' kerusi


  • Tular
  • Selasa, 21 Feb 2023

Tangkap layar kerusi pesawat penerbangan tempatan yang ditampal dengan pita pelekat.

SEORANG penumpang pesawat terkemuka tanah air meluahkan rasa kecewa dan malu apabila kerusi kapal terbang penumpang yang dinaikinya itu dipenuhi pita pelekat kuning.

Pesawat berkenaan dijadualkan terbang dari Taipei, Taiwan ke Kuala Lumpur pada Isnin dengan rata-ratanya dipenuhi dengan penumpang pelancong asing.

Dikongsikan oleh seorang individu di laman Facebook, beberapa foto dimuat naik di laman sosial peribadinya dengan perkara itu turut menerima pelbagai spekulasi di ruangan komen.

Warganet turut meluahkan rasa malu berhubung situasi itu kerana ia secara tidak langsung telah mencalarkan imej baik negara terhadap pelancong asing.

"Malu la dengan pelancong luar, pesawat kita punya servis teruk betul, tahu la tambang murah tapi jangan la sampai memalukan biar la sedap sikit mata memandang," kata Zuhairi Haziq.

"Dah macam kerusi sekolah bertampal sana sini, kalau kerusi pun macam ini bahagian enjin macam mana pula, keselamatan penumpang macam tidak dijaga baik," ujar Cik Anaa Bunga.

"Kalau betul ada rosak sekali pun, kenapa mesti tampal dengan pita pelekat kuning, macam dah tak ada duit sangat, mana pergi mekanik ataupun pegawai penyelenggaraan syarikat? soal Aryan Rahimi.

Majoriti masih berusaha mendapatkan maklum balas daripada pihak pengurusan syarikat penerbangan terbabit untuk mengulas lanjut isu tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram