BEKAS pemain sayap Chelsea dan Newcastle United, Christian Atsu yang ditemukan dalam runtuhan gempa bumi di Turkiye, dipercayai terjatuh dari aras sembilan sebuah blok pangsapuri 11 tingkat di wilayah Hatay.
Pemain antarabangsa Ghana yang beraksi bersama kelab Turki, Hayatspor itu difahamkan terperangkap selama tujuh jam di bawah runtuhan bangunan selepas gegaran berukuran 7.8 magnitud melanda selatan negara tersebut.
Atsu membantu kelabnya menewaskan Kasimpasa 1-0 pada Ahad lalu menerusi jaringan gol pada babak akhir perlawanan.
Selepas perlawanan tersebut, Atsu sempat melakukan satu hantaran di media sosial dengan berkata, “Kemenangan penting untuk pasukan. Sangat gembira kerana berada di dalam senarai penjaring.”
Dia dipercayai pulang ke rumah selepas meraikan kemenangan itu bersama rakan sepasukannya sebelum gempa bumi melanda.
Ejen Atsu, Nana Sechere, yang berada di London, berkata: “Kali terakhir saya menghubunginya pada tengah malam Ahad. Christian dan rakan sepasukannya bermain poker sehingga pukul 3.30 pagi di apartmen rakannya."
“Perjalanan pulang ke apartmennya mengambil masa kira-kira setengah jam. Dia kembali pada pukul 4 pagi dan gempa bumi berlaku kira-kira 20 minit kemudian.
"Saya tidak tahu apa-apa sehinggalah saya menerima panggilan daripada pegawai kelab pada pukul 5 pagi bertanyakan sama ada saya mendengar khabar daripada Atsu.
"Dia memberitahu saya bahawa blok pangsapuri yang menjadi kediaman Atsu runtuh dan mereka tidak dapat mencarinya," kata Sechere memetik laporan Mirror Sport.
Menurutnya, dia mendapat laporan bahawa Atsu selamat namun hanya memperoleh pengesahan daripada kelab berhubung berita berkenaan pada pukul 6 pagi, Selasa.
“Mereka memberitahu saya bahawa dia dalam keadaan stabil di hospital.
"Dia tidak dapat mengingati nombornya, jadi saya fikir akan tunggu dulu sebelum bercakap dengannya," katanya.
Sechere mendedahkan dia juga mungkin menjadi mangsa runtuhan gempa bumi itu. Dia terhindar daripada kejadian berkenaan kerana tidak berjaya mendapatkan tiket penerbangan untuk melihat Atsu bermain.
"Saya sepatutnya menaiki pesawat pada Jumaat. Tetapi penerbangan itu tiba pada Ahad selepas perlawanan tamat, jadi saya menukar penerbangan lain.
"Sekiranya saya mengambil penerbangan asal, mungkin saya berada dalam situasi sama," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram