UNIT Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melaksanakan penerbangan ihsan membawa jenazah seorang bayi lelaki orang asli berusia dua tahun dari Pos Balar ke Hospital Gua Musang, Kelantan pada Sabtu.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata, pada awalnya pihak bomba menerima arahan untuk melakukan penerbangan pemindahan perubatan terhadap bayi lelaki itu, Henry Stegen Heryak yang mengalami sawan, bengkak kaki, cirit-birit dan bintik-bintik merah di badan.
Bagaimanapun, Mohd Hasrizal berkata, bayi itu meninggal dunia ketika anak kapal dalam penerbangan ke perkampungan berkenaan.
"Setelah hampir satu jam penerbangan dengan menggunakan pesawat jenis Mi-17-IV, kru dimaklumkan bahawa bayi tersebut telahpun meninggal dunia sebelum pesawat tiba di Pos Balar dan disahkan oleh doktor,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata bapa bayi itu, Heryak Anjang, 28, dan ibu serta seorang adik perempuan bayi itu turut dibawa sama dalam penerbangan tersebut.
Menurut Mohd Hasrizal, pesawat terlebih dahulu mendarat di Balai Bomba Gua Musang untuk mengambil dua jururawat dari Hospital Gua Musang untuk dibawa ke Pos Balar bagi mengeluarkan jenazah bayi tersebut.
"Jenazah bayi selamat dipindahkan dan dihantar ke hospital berhampiran untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata pesawat yang dikemudi Lt Kol Tengku Ahmad Shaiful Isnawi Tengku Muhamad dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dibantu Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Hafiz Sulaiman itu selamat mendarat di Subang, Selangor.
"Penerbangan tersebut berjaya dilaksanakan dengan cuaca berawan rendah pada ketinggian 2,000 kaki dan penglihatan terhad di sesetengah tempat,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram