Paip utama hanyut akibat banjir, ribuan penduduk Chaah di Segamat hadapi masalah bekalan air bersih


  • Primer
  • Sabtu, 04 Mac 2023

Onn Hafiz turun padang meninjau situasi banjir di Segamat baru-baru ini. — Facebook Onn Hafiz

SELAIN banjir, Chaah di Segamat, Johor juga mengalami isu tiada bekalan air bersih, susulan paip utama yang hanyut dan pecah akibat arus deras.

Menteri Besar Johor Datuk, Onn Hafiz Ghazi berkata, punca ketiadaan air, disebabkan paip utama di Jambatan Sungai Chaah yang hanyut dan pecah akibat arus deras.

"Ia sekali gus mengakibatkan gangguan kepada 3,962 akaun dari Chaah hingga ke Kampung Sungai Haji Kamisan,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Beliau turun sendiri ke lokasi bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bekok, Tan Chong dan Pegawai Daerah Segamat, Masni Wakiman, untuk mendengar taklimat daripada Ranhill SAJ pada Jumaat berhubung isu tersebut.

"Ranhill SAJ memaklumkan, kerja-kerja pembaikan di tahap 40 peratus dan dijangka siap pagi ini (Sabtu).

"Sementara itu, lori-lori tangki air Ranhill SAJ akan menyalurkan bekalan air ke kawasan yang terjejas," kata Onn Hafiz, yang turut menzahirkan terima kasih kepada Ranhill SAJ dan semua pihak, yang komited bagi memastikan bekalan air bersih akan kembali disalurkan.

331662747_889653155637041_5304568708733392865_n

Keadaan banjir di Segamat baru-baru ini. — Facebook Onn Hafiz

Pada hantaran Facebook berasingan pula, Onn Hafiz menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas khabar gembira daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, yang sudah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM50 juta bagi membantu mangsa-mangsa banjir serta keperluan lain yang mendesak.

331721011_1366628417466893_4794236449628733257_n

Antara rumah yang mengalami banjir di Batu Pahat. — Facebook Onn Hafiz

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, kerana menggerakkan bantuan segera kepada Johor.

"Semoga usaha yang diambil kerajaan negeri dan persekutuan, dibantu agensi-agensi, syarikat-syarikat korporat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan kesejahteraan Bangsa Johor, akan diberkati ALLAH SWT.

"Saya mendoakan agar kita semua cekal dalam menghadapi ujian ini. Insya-ALLAH kita akan dapat melalui tempoh yang serba mencabar ini," kata beliau.

Johor kini mencatatkan jumlah mangsa seramai 37,322 orang setakat 8 pagi Sabtu, melibatkan sembilan daerah dengan pembukaan 238 pusat pemindahan sementara (PPS). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram