Hujan lebat luar biasa dijangka landa Johor sehingga akhir Mac


  • Massa
  • Jumaat, 03 Mac 2023

Hujan lebat di Johor telah mengakibatkan bencana banjir melanda di negeri itu. — Awani

JOHOR terutama kawasan timur dan selatan dijangka menerima jumlah hujan yang luar biasa susulan berlaku peralihan musim monsun ke cuaca panas sehingga akhir bulan Mac.

Pengarah Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mohd Fadhil Md Din berkata, Johor pada masa kini, menerima kadar purata hujan 200 milimiter (mm), lebih banyak berbanding 100 mm pada hari biasa.

"Sekarang sudah masuk peralihan musim. Kita jangkakan Mac hingga April, kita akan terima hujan, selepas tu masuk April hingga Mei yang membawa udara panas di sebabkan fenomena El Nino.

"Peralihan musim monsun pada tahun ini telah mengakibatkan perubahan cuaca yang drastik, sekali gus menyebabkan kita menerima hujan lebih banyak,” katanya.

Mohd Fadhil berkata justeru, agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan perlu mempergiatkan usaha dan mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan impak risiko banjir seperti membersihkan longkang-longkang dan parit serta menyediakan pelan kontingensi kawasan liputan banjir termasuk pendalaman sungai utama atau tebatan banjir

"Jika kita lihat banjir di kawasan luar bandar seperti di Chaah, Segamat, kebanyakan rumah yang ditenggelami banjir kerana terletak berdekatan dengan sungai.

"Sungai yang telah menjadi cetek terutamanya disebabkan pembangunan, perlulah didalamkan semula bagi menampung air hujan yang banyak selain memastikan sistem perparitan berfungsi dengan baik,” kata Mohd Fadhil.

Setakat pukul 4 petang Jumaat, jumlah mangsa banjir di Johor mencecah seramai 32,870 orang yang ditempatkan di 219 pusat pemindahan sementara di seluruh negeri. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram