Banjir Johor: Ibu tunggal utamakan baju sekolah anak berbanding Kancil


  • Massa
  • Khamis, 02 Mac 2023

Daerah Kluang, Johor merupakan antara kawasan yang terjejas teruk dengan situasi banjir. — Bernama

SEORANG ibu tunggal hanya sempat menyelamatkan dokumen penting dan pakaian sekolah baharu empat anaknya apabila air banjir naik mendadak di rumahnya di Jalan Sawi, Yap Tau Sah, Kluang, Johor pada Selasa.

Nor Azimah Ibrahim, 39, berkata, kejadian pada waktu malam itu berlaku ketika dia baru pulang kerja dan terus menyelamatkan dokumen serta barangan penting.

Nor Azimah berkata, dia bagaimanapun gagal menyelamatkan kereta Perodua Kancil miliknya kerana air telah mencecah hingga 0.6 meter.

"Tak sempat nak angkat apa-apa, yang dapat dokumen, baju sekolah. Yang penting sudah beli kelengkapan anak-anak untuk penggal baharu macam beg dan kasut itu yang penting," katanya.

Nor Azimah yang mempunyai anak perempuan berusia tujuh, 10, 13 dan 17 tahun berkata, dia bersyukur kejadian kali ini tidak seburuk pada 2006.

"Masa tu, air naik tinggi sampai paras tingkap, tak sempat nak capai apa-apa, jadi kami tinggal sehelai sepinggang," katanya yang turut dibantu abang dan kakak iparnya mengemas rumah.

Sementara itu, Idris Kassim, 52, mengakui air yang meningkat terlalu cepat membuatkan dia dan isteri tidak sempat mencapai apa-apa selain dokumen penting dan buku sekolah anak.

Idris berkata, dia bagaimanapun sempat mengalihkan dua motosikal ke tempat tinggi susulan amaran daripada pihak berkuasa.

"Alhamdulillah, tak teruk berbanding dulu tetapi sebab air naik mendadak, hanya dapat selamatkan dokumen penting dan buku sekolah anak," katanya yang berkhidmat sebagai penghantar surat.

Setakat pukul 12 tengah hari Khamis, seramai 26,633 mangsa banjir telah dipindahkan ke 193 pusat pemindahan sementara dengan Kluang menjadi daerah kedua paling terjejas melibatkan 5,470 mangsa. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram