TikTok 'live' penyelamat mangsa banjir di Segamat dapatkan bantuan


  • Massa
  • Khamis, 02 Mac 2023

Setakat pagi Khamis, mangsa banjir di Johor meningkat lebih dua kali ganda kepada 25,213 orang dengan Segamat merekodkan mangsa tertinggi seramai 7,272 mangsa.

SEORANG mangsa banjir menggunakan aplikasi TikTok ‘live’ atau siaran langsung untuk memberitahu keadaannya ketika menunggu untuk diselamatkan selepas terperangkap di sebuah restoran di Bandar Segamat, awal pagi Khamis.

Menggunakan akaun ‘Pak Arab’, lelaki tersebut yang terperangkap bersama rakannya memaklumkan penonton bahawa dia sebelum itu keluar untuk memenuhi tugasan menebang pokok yang tumbang akibat hujan lebat di Tenang, Segamat.

Bagaimanapun, dalam perjalanan pulang melalui bandar itu, dia diberitahu orang awam lain air banjir sudah meningkat ke paras dada.

"Saya masih tidak tahu keadaan kampung saya sebab tak sempat balik lagi. Saya tunggu bantuan dekat Restoran Natasha ini sebab orang cakap kawasan ini lagi tinggi daripada tempat yang lain," katanya memberitahu penonton.

Lelaki berkenaan ketika itu bersama seorang lagi rakannya dan seorang orang awam lain, berselimutkan plastik tanpa makanan dan minuman.

‘Pak Arab’ kemudiannya dihubungi wakil Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang menggunakan akaun Caldeeja Lee memberitahu pasukan APM kini berada di Genuang, Segamat dan dalam perjalanan ke sana.

"Minta encik juga berhati-hati dan jauhkan sikit dari duduk di hadapan berdekatan air deras. Apa-apa, kami akan hubungi menerusi ‘live’ ini," kata wanita tersebut.

1960975

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (bertopi) ketika membantu mangsa banjir berhampiran Bukit Mutiara, Johor Baru, Johor pada Rabu.

Beberapa penonton juga menyertai siaran langsung berkenaan dan berbual dengan ‘Pak Arab’ atau nama sebenarnya Syed Syaiful Syah, sambil berkongsi keadaan banjir di tempat masing-masing serta pengalaman yang pernah mereka lalui.

Syed Syaiful Syah yang menetap di Jalan Simpang Jabi berkata, ini merupakan kali pertama dia menggunakan TikTok ‘live’ memandangkan mahu mengisi masa lapang sebelum dapat diselamatkan.

"Selalu saya tolong orang terutama sekali lepas banjir. Tolong orang cuci rumah, bersihkan rumah sebab saya ada peralatan. Tak sangka kali ini saya pula terkandas," katanya kepada Bernama ketika dihubungi semasa sesi siaran langsung tersebut, kira-kira pukul 3 pagi tadi.

Selain itu, beberapa penonton turut berkongsi terdapat ahli keluarga mereka yang turut terkandas di beberapa lokasi sekitar bandar berkenaan dengan arus sungai juga kelihatan sangat deras sedang melalui bandar ketika sesi tersebut, yang turut cuba diseberangi beberapa individu tetapi dihalang Syed Syaiful Syah.

Setakat pukul 8 pagi Khamis, mangsa banjir di Johor meningkat lebih dua kali ganda kepada 25,213 orang dengan Segamat merekodkan mangsa tertinggi seramai 7,272 mangsa.—Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram