TIGA individu dipercayai kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdepan dengan detik cemas selepas terperangkap dalam banjir.
Difahamkan kejadian itu berlaku di kawasan ladang kelapa sawit di Batu Pahat, Johor pada Rabu.
Dalam video berdurasi 23 saat yang dimuat naik di halaman Twitter nan manjoi8715 memaparkan tiga individu berkenaan yang memakai jaket keselamatan JKM terpaksa menyelamatkan diri dengan memanjat bumbung kenderaan pacuan empat roda.
Turut kedengaran suara seorang lelaki cuba menghubungi seseorang bagi mendapatkan bantuan.
"Tolong, minta bantuan. Tolong, minta tolong. Ya ALLAH," katanya.
Sementara itu, pihak JKM mengesahkan ketiga-tiga individu tersebut merupakan kakitangan JKM Batu Pahat yang ditugaskan untuk membantu mangsa banjir di kawasan tersebut melalui akaun Instagram jkmhq.
Katanya, ketiga-tiga kakitangan tersebut sudah diselamatkan oleh orang kampung dengan batuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berdekatan.
"Pada Rabu, beberapa negeri dilanda banjir, antaranya Sabah, Sarawak dan Johor. Dalam kesiapsiagaan staff JKM untuk menjalankan tugas menghantar keperluan mangsa bencana, beberapa kakitangan JKM Batu Pahat, Johor terperangkap di kawasan yang dilanda banjir.
"Syukur alhamdulillah, kini mereka telah diselamatkan oleh penduduk kampung bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berdekatan.
"Peringatan juga kepada orang ramai untuk sentiasa waspada dengan keadaan banjir di sekeliling anda serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi keselamatan bersama," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram