Banjir: 431 calon SPM tak dapat hadir, KPM laksana penjadualan semula peperiksaan


  • Primer
  • Khamis, 02 Mac 2023

Setakat pukul 6 pagi Khamis, jumlah mangsa banjir direkodkan di beberapa negeri di seluruh negara mencecah 26,388 orang.

CUACA hujan lebat berterusan yang berlaku pada Rabu menjejaskan sebanyak 17 pusat peperiksaan di tiga negeri iaitu Johor, Pahang dan Sarawak, menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Daripada jumlah tersebut, kementerian itu memaklumkan sebanyak tujuh pusat peperiksaan tidak dapat dibuka disebabkan terputus hubungan dan jalanraya tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.

"Di Johor dan Pahang, seramai 195 calon terkesan dengan banjir namun berjaya digerakkan ke pusat peperiksaan yang berhampiran dengan bantuan agensi kerajaan untuk menduduki peperiksaan.

"Manakala, seramai 431 calon terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang dijadualkan atau pusat peperiksaan yang berhampiran," katanya dalam satu kenyataan.

KPM berkata, Lembaga Peperiksaan (LP) sedang mengumpulkan maklumat terperinci mengenai calon yang terlibat dan penjadualan semula peperiksaan SPM tahun 2022 akan dilaksanakan bagi mereka yang terjejas.

Kementerian itu menjelaskan penjadualan semula peperiksaan akan dilaksanakan bagi calon berkenaan setelah mendapat pengesahan Pengarah Pendidikan Negeri.

First day of SPM examination at SMK Sentul Utama on March 02.—AZMAN GHANI/The Star

Penjadualan semula peperiksaan akan dilaksanakan bagi calon terjejas selepas mendapat pengesahan Pengarah Pendidikan Negeri.

Menurut KPM, pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022 dalam situasi banjir dilaksanakan berpandukan Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan (Operasi Payung) Bil.1/2001.

Dalam pada itu, kementerian itu menasihatkan semua calon peperiksaan SPM 2022 untuk segera memaklumkan pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sekiranya terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran.

KPM menyediakan talian gerakan banjir di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara.

Setakat pukul 6 pagi Khamis, jumlah mangsa banjir yang direkodkan di beberapa negeri di seluruh negara mencecah 26,388 orang.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

banjir, SPM 2022, KPM, berita semasa, Johor, Pahang, Sarawak