Angka korban meningkat, 2 warga emas maut terperangkap banjir di Segamat


  • 112
  • Khamis, 02 Mac 2023

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah menunjukkan mayat dua warga emas maut dalam bencana banjir di Segamat, Johor. — RTM

BENCANA banjir di Johor mencatatkan dua lagi kematian membabitkan dua warga emas yang berjiran di Jalan Kwongsai di Chaah, Segamat, Johor.

Kedua-dua mangsa telah dikenal pasti sebagai Lee Amo Yee, 74, dan Tan Sue Ke, 78, yang ditemui terperangkap di dalam rumah masing-masing.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, sepasukan penyelamat telah melakukan pencarian di kawasan tersebut selepas menerima maklumat daripada anak masing-masing.

“Akibat banjir, dua nyawa telah pun hilang. Mangsa seorang lelaki dan seorang perempuan terperangkap di dalam kediaman sendiri di mana mayat mereka ditemui pada pukul 11 ​​pagi Khamis.

“Apabila air banjir semakin surut, kami menjalankan pemeriksaan di dua buah rumah berkenaan di Jalan Kwongsai, lokasi mayat itu ditemui,” katanya.

Tambahnya, kejadian itu dipercayai berlaku apabila air banjir mencecah ketinggian kira-kira 2 meter secara tiba-tiba pada Rabu.

Beliau berkata, air banjir mencecah paras bumbung di kediaman mangsa yang terletak berhampiran balai polis Chaah, Segamat, Johor.

“Mangsa tinggal bersendirian di rumah masing-masing dengan jarak lebih kurang 400 meter. Ketika kejadian, mereka gagal menyelamatkan diri tepat pada masanya kerana air naik dengan cepat,” tambahnya.

Ahmad Zamry berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Segamat untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Dengan kejadian terbaharu ini, menjadikan jumlah kematian bencana banjir di Johor meningkat ke angka tiga mangsa secara keseluruhan.

Pada Rabu, mangsa banjir pertama di Johor direkodkan di Kluang selepas seorang lelaki ditemui mati di dalam kereta yang dipercayai dihanyutkan air banjir di Jalan GSA Chamek, Paloh, Kluang, Johor.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa yang berusia 20 tahun sedang memandu ke tempat kerja di sebuah kilang memproses minyak sawit berhampiran apabila air banjir menghanyutkan kereta itu kira-kira pukul 7.20 pagi.

“Usaha mencari dan menyelamat dijalankan dan pada pukul 12.20 tengah hari, kereta itu ditemui ditenggelami air banjir.

“Setelah memeriksa kereta berkenaan, seorang lelaki ditemui mati dan mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di Kluang untuk bedah siasat,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram