Kehilangan peneroka Felda Selancar terjawab, dijumpai maut dalam kereta di ladang kelapa sawit selepas banjir surut


  • 112
  • Jumaat, 03 Mac 2023

Tangkap layar mayat warga emas ditemui dalam sebuah kenderaan yang dijumpai selepas banjir surut.

SEORANG warga emas maut akibat lemas di dalam keretanya yang ditemukan di ladang kepala sawit di jalan utama Felda Selancar 2, Rompin, Kuantan, Pahang selepas banjir surut.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan Abdullah Satar, 73, yang merupakan peneroka di Felda itu pada pukul 6.40 petang Khamis.

"Berdasarkan siasatan awal, keluarganya mendakwa mangsa hilang selepas keluar rumah sejak Rabu lepas dan gagal dihubungi menyebabkan mereka mencarinya, namun gagal.

"Anak mangsa mendakwa dihubungi rakannya yang memaklumkan kereta Proton Iswara mangsa dijumpai dalam ladang itu dengan mangsa di dalamnya," katanya.

Mohd Azahari berkata, polis bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah serta dibantu penduduk berjaya mengeluarkan mayat mangsa.

Katanya, bedah siasat di Hospital Muadzam Shah, Rompin malam tadi mengesahkan kematian Abdullah adalah disebabkan lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram