[VIDEO] Sembur cat CCTV sebelum letupkan 2 mesin ATM, RM349,000 lesap angkara '3 jahanam'


  • 112
  • Khamis, 23 Feb 2023

Tangkap layar keadaan mesin ATM terbabit selepas diletupkan pada awal pagi Khamis.

SEBUAH mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik sebuah bank di Setia Alam, dekat Shah Alam, Selangor diletupkan, sebelum wang tunai dianggarkan berjumlah RM349,000 dilarikan pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian tersebut, kira-kira pukul 6.48 pagi.

Beliau berkata, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati dua mesin ATM dalam keadaan rosak teruk, dipercayai sudah diletupkan.

Bagaimanapun, katanya, hanya sebuah mesin ATM sahaja berjaya dibuka.

"Hasil siasatan setakat ini, tiga suspek dilihat telah memasuki premis ATM bank tersebut menaiki kereta jenis Mitsubishi ASX berwarna putih. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu kabur dan tidak jelas, berikutan suspek telah menyembur spray cat berwarna hitam.

"Pihak forensik, Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Post Balistic Investigation (PBI) turut dipanggil ke tempat kejadian, untuk membuat ‘flushing’ dan membantu siasatan. Pihak forensik menyatakan letupan dipercayai dihasilkan dengan cara tekanan gas," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Iqbal berkata, tiada kesan kebakaran dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku di tempat kejadian.

"Polis kini sedang giat mengesan kesemua suspek dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 436/379 Kanun Keseksaan. Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada pegawai Penyiasat kes Asisten Superintendan Mohammad Khairi di talian 012-2666025,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram