Remaja 20 tahun suspek bunuh warga emas di Jasin


  • 112
  • Jumaat, 20 Jan 2023

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke Hospital Jasin.

SEORANG wanita warga emas maut dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Pulai Darat, Jasin, Melaka pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, polis menemukan mangsa Misah Md Amin, 91, yang tinggal seorang diri dalam keadaan terbaring di bahagian dapur.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asistan Superintenden Mohd Fadzli Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada jiran mangsa kira-kira pukul 3.54 pagi.

"Warga emas berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke Hospital Jasin bagi proses bedah siasat. Punca kematian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat awam, polis berjaya menahan suspek warga tempatan berusia 20 tahun di kawasan berhampiran kira-kira enam jam kemudian.

Katanya suspek yang merupakan seorang penganggur mempunyai tiga rekod lampau berhubung kes rompak serta samun dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, bunuh, samun, warga emas, penganggur, Jasin