SEORANG wanita hamil tujuh bulan yang dipercayai terlibat dalam cubaan samun di sebuah kedai emas baru-baru ini didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas pertuduhan cuba merompak.
Norraniza Muhamad Puslam, 35, yang menangis semasa pertuduhan dibacakan kepadanya, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Tertuduh didakwa cuba merompak Nur Rabeatul Addawiyah Rasul, 16, di Kedai Emas Daz Jewellery Mydin Ayer Keroh, pada pukul 4.45 petang, 20 Disember lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimun tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin.
Bagaimanapun peguam tertuduh, Illya Shahar memohon jaminan yang lebih rendah memandangkan anak guamnya berpendapatan sederhana, mengandung dan mempunyai dua anak berusia lima dan dua tahun selain masih menanggung kedua ibu bapa dan juga seorang adik yang masih belajar di pusat pengajian tinggi.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman membenarkan Norraniza diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan dua penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 10 Februari depan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram