[VIDEO] Rompak waktu solat Jumaat, suspek acu pisau di leher pekerja bank sebelum larikan lebih RM50,000


  • Benua
  • Isnin, 23 Jan 2023

Tangkap layar tersebut memaparkan suspek mengacukan pisau ke arah mangsa semasa kejadian tersebut.

TULAR sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di media sosial memaparkan dua lelaki merompak sebuah bank di Jawa Timur, Indonesia pada Jumaat.

Rakaman tersebut dikongsikan oleh @memomedsos di laman Instagram dan mendapat perhatian warganet.

Melalui rakaman itu, suspek yang menunggang motorsikal dilihat masuk ke dalam bank dengan membawa senjata tajam sebelum menggertak pekerja wanita bank tersebut.

Suspek yang lengkap berpakaian hitam juga memaksa pekerja bank tersebut memasukkan wang ke dalam sebuah karung hitam.

Lelaki itu mengugut mangsa dengan mengacukan pisau ke lehernya dan mengarahkan supaya lebih banyak wang dikeluarkan dari peti simpanan bank tersebut.

Lebih RM50,000 telah dilarikan dua perompak itu.

Menurut laporan Tribun News, kejadian rompakan itu berlaku ketika solat Jumaat dan ia memudahkan suspek kerana hanya wanita yang berada di bank tersebut.

Setakat ini, pihak polis masih menjalankan siasatan dan mencari maklumat suspek yang diperoleh daripada rakaman CCTV itu.

Rakaman tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.

"Sepatutnya perlu ada pengawal keselamatan yang bukan beragama Islam supaya ada yang menjaga ketika semua orang sedang solat Jumaat," ujar Hamzah.

"Perempuan lawan lelaki, mestilah kalah," kata Eva dalam komen video tersebut.

"Mana pengawal keselamatan, bukan sepatutnya sentiasa ada ke?" soal Jefri. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram