BARU-BARU ini, hangat diperkatakan di media sosial mengenai isu jersi Perak FC yang dikatakan mudah rosak meskipun kualitinya yang cukup baik.
Perkara itu dikongsikan seorang penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) yang seolah-olah kecewa selepas logo pakaian tersebut rosak selepas baru sahaja dibelinya.
Namun, menjawab akan perkara berkenaan, pihak pengurusan Perak FC seolah-olah terbuka untuk menggantikan jersi tersebut, sekali gus melonjakkan lagi reputasi mereka.
Tidak cukup dengan itu, pasukan kedua tercorot Liga Perdana 2022 itu sekali lagi tampil bagi memastikan imej kelab itu terus terjamin.
Usaha tersebut dapat disaksikan apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin meluangkan masa untuk melakukan satu tinjauan mengejut di Stadium Cheras, Kuala Lumpur.
Perkara itu dikongsikan menerusi akaun Facebook TBG Super Fan yang memaparkan dia menemui beberapa peniaga di luar stadium tersebut sambil bertanya mengenai kualiti jersi yang dijual.
Berdasarkan rakaman berdurasi 2 minit 16 saat itu, terdapat beberapa peniaga terbabit mengakui pakaian dijual bukan sahaja tidak asli tetapi tidak bermutu.
Jersi Perak FC untuk 2023 menampilkan pelbagai warna dan rekaan. — Facebook/Perak FC
"Sesi terjah sebelum perlawanan bermula di Stadium Cheras, Kuala Lumpur. Selepas ini, saya akan cuba bincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) untuk aksi di Stadium Perak.
"Ketika itu, kita sudah bukan sahaja memberi amaran dan nasihat. Sokongan daripada anda semua juga amat diperlukan, jom sama-sama kita membanteras lanun-lanun ini," katanya.
Pendekatan yang diambil Bobie dan pihak pengurusan kelab itu diterima baik sebahagian besar penyokong Perak FC yang cukup gembira dengan usaha yang ditunjukkan.
"Bos, patutnya bolehlah beri ganjaran kepada siapa-siapa yang memberikan info mengenai aktiviti cetak rompak pada masa akan datang," kata Wan Tamin.
"Terbaik tuan! Nasihat dulu kerana segala-galanya sudah berdaftar, bukan suka-suka sahaja boleh guna tanpa kebenaran," kata Rie TheBos.
"Harapnya perkara ini boleh dibanteras sehingga ke lubang cacing. Kepada penyokong pula, jangan suka-suka beli jersi yang tidak asli, boikot sahaja," kata Muhammad Aqil.
Sebelum ini, isu penjualan cenderahati kelab turut hangat diperdebatkan dengan ada pihak mengatakan terdapat sindiket dalaman Penang FC yang membocorkan reka bentuk jersi mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram