DUA anggota polis wanita berpangkat konstabel bertindak berani berhadapan dengan tiga perompak dalam satu kejadian rompakan di Bank Gramin di Hajipur Bihar, India.
Dikenali sebagai Juhi Kumari dan Shanti Kumari dari Balai Polis Bihar, dua polis wanita itu ditugaskan untuk mengawal bangunan terbabit.
Insiden cemas yang berlaku dalam sekelip mata itu berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) premis itu.
Rakaman menunjukkan kedua-dua polis berkenaan sedang duduk di atas kerusi sebelum didatangi oleh tiga lelaki bertopeng dan bersenjata api di pintu masuk.
Juhi dan Shanti kemudian memberanikan diri berhadapan dengan ketiga-tiga perompak terbabit untuk meminta dokumen pengenalan diri.
Namun seorang daripada perompak tersebut mengeluarkan pistol dan cuba merampas senapang milik anggota polis tersebut.
Tetapi kedua-dua anggota polis wanita terbabit melawan semula dan kejadian itu menarik perhatian orang ramai yang mula memasuki premis tersebut.
Disebabkan cemas dengan kehadiran orang ramai, ketiga-tiga perompak kemudiannya bertindak melarikan diri.
Menurut jurucakap Balai Polis Bihar, usaha berani Juhi dan Shanti wajar mendapat pujian dan ganjaran.
"Kami sangat menghargai usaha mereka. Siasatan juga akan dilakukan bagi mengenalpasti identiti suspek," katanya.
Orang awam turut memuji keberanian mereka dan mengharapkan akan ada lebih ramai pegawai atau penjawat awam seperti kedua-duanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram