Mohamad Shafiq ditahan, Azam Baki tidak ampunkan individu burukkan reputasi SPRM


  • 112
  • Khamis, 23 Feb 2023

Pada Selasa, tular satu video berdurasi 44 saat tersebar di Twitter memaparkan seorang lelaki mendakwa RM10 juta ditawarkan SPRM kepada Wan Saiful.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pemerhati politik, Mohamad Shafiq Abdul Halim atas kenyataannya yang mendakwa agensi itu menawarkan RM10 juta kepada bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, langkah itu dibuat selepas individu itu memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, pada petang Rabu.

Beliau berkata, walaupun Mohamad Shafiq segera bertindak memohon maaf selepas mengeluarkan kenyataan tersebut, perbuatan berkenaan telah secara langsung merosakkan imej badan Pencegahan rasuah itu.

"Ini satu perkara yang saya tegaskan lagi sekali yang saya secara peribadi tidak ampunkan orang begini yg merosakkan reputasi SPRM dengan membuat tuduhan liar.

"Mana saya nak ambik RM10 juta nak bagi kepada Wan Saiful Wan Jan. Jadi akibat kenyataan dikeluarkan itu, ia timbulkan spekulasi amat tidak baik kepada SPRM dan benda ini tidak boleh dipadamkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media berhubung Op Tropicana yang diadakan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, pada Khamis.

Azam berkata, Mohamad Shafiq ditahan mengikut Seksyen 48 Akta SPRM 2009 yang mengandungi kesalahan menganggu siasatan.

Pada Selasa, tular satu video berdurasi 44 saat tersebar di Twitter memaparkan seorang lelaki mendakwa RM10 juta ditawarkan SPRM kepada Ketua Penerangan Bersatu.

Melalui klip video itu, lelaki berkenaan mendakwa tawaran itu dibuat SPRM supaya Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menukar kenyataannya dengan mengatakan bahawa beliau menerima arahan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu untuk menerima wang rasuah.

Wan Saiful sebelum itu berhadapan dengan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.92 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Namun begitu, beliau mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertubuhan itu dan memohon untuk dibicarakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram