Lepas naik bas ke Parlimen, Anthony Loke dipelawa cuba pengangkutan awam di Sabah


  • Massa
  • Selasa, 21 Feb 2023

Anthony Loke menaiki bas perantara yang disediakan untuk ke Parlimen pada Selasa. —Facebook/Anthony Loke Siew Fook

SEJAK dilantik menjadi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjadi antara pemimpin yang dilihat sering turun padang bagi merasai sendiri perkhidmatan pengangkutan awam di dalam negara.

Malah, beliau turut menarik perhatian apabila beberapa kali melakukan penyamaran untuk memeriksa sendiri masalah berlaku antaranya dengan melakukan tinjauan di beberapa stesen LRT dan MRT di ibu negara.

Langkah tersebut dipuji oleh kebanyakan rakyat di dalam negara kerana dengan cara tersebut, beliau dilihat akan terdedah dengan dengan pelbagai isu dihadapi pengguna dan seterusnya meningkatkan lagi tahap perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia.

Sementara itu, dalam usaha menggalakkan lagi penggunaan pengangkutan tersebut, kerajaan turut mula memperkenalkan perkhidmatan bas perantara percuma ke Parlimen bermula pada Isnin.

Dengan pengenalan tersebut, Anrhony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban itu turut berkongsikan pengalamannya menggunakan bas berkenaan untuk menghadiri sesi di Dewan Rakyat pada Selasa.

"Selamat pagi. Saya sedang naik bas T851 ke Parlimen untuk menjawab soalan bus feeder di Dewan Rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menyatakan keterujaannya dengan perkembangan berkenaan dan turut berharap agar ahli Parlimen lain supaya mencontohi amalan tersebut.

Kota Kinabalu

Terdapat warganet yang meminta Anthony Loke supaya turut melakukan tinjauan terhadap pengangkutan awam di luar Lembah Klang. —Facebook/Dewan Bandaraya Kota Kinabalu

Pada masa sama, terdapat juga mereka yang menggunakan ruangan komen bagi menarik perhatian Anthony Loke terhadap beberapa masalah berkaitan pengangkutan awam dihadapi mereka termasuk yang berada di negeri luar dari Lembah Klang.

"Cuba-cubalah juga naik pengangkutan awam dari Sandakan ke Kota Kinabalu. Apalah balik-balik di Kuala Lumpur sahaja," kata Radhi Radhi.

"Naik komuter YB dari KL Sentral sampai Tiroi. mula naik jam 5 petang. Jangan inform, buat kejutan tengok macam mana," tulis Mohd Faisal Samsudin.

"Tak cukup tren. perlu naik feeder bas juga YB. Bersesak juga penumpang kelihatan," ujar Huzaiman Jamil.

"Tolong periksa MRT sekali YB. hari-hari masalah. lambat masuk kerja, KPI fail," ujar Kuhendran Raj.

Dalam pada itu, pengguna juga turut memberikan cadangan untuk penambahbaikan perlu dilakukan terhadap kemudahan perkhidmatan pengangkutan sedia ada di dalam negara.

"Akses ke stesen LRT dan Komuter perlu memikirkan kemudahan untuk warga emas dan OKU. Jenuh juga nak naik dan turun tangga di stesen tiada kemudahan lif atau escalator," kata Zaleha Abdul Rahman.

Qua KT pula berkata, "Pastikan ketepatan waktu bas tiba, itu isu paling penting. Itu sahaja cara yang boleh digunakan untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam. Sekarang ini bas tidak mencukupi dan tidak tiba pada jadual yang sepatutnya."— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram