KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan agensi itu bukan alat bagi mana parti politik untuk menjalankan pendakwaan terhadap individu tertentu.
Ia selepas timbul beberapa dakwaan baru-baru ini yang mengaitkan tuduhan rasuah terhadap beberapa pemimpin parti politik di Mahkamah sebagai pendakwaan terpilih.
Katanya, SPRM sentiasa menjalankan siasatan secara profesional berdasarkan aduan yang diterima.
"Jika ia mengandungi unsur kesalahan. Maka siasatan dijalankan. Kita bukan alat mana-mana parti politik, tak wujud siasatan atau pendakwaan terpilih dalam isu ini," katanya ketika sidang media berhubung Op Tropicana bersama Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang diadakan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, pada Khamis.
Pada Selasa, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa parti itu menjadi mangsa 'pendakwaan terpilih' selepas ketua penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa atas dakwaan rasuah RM6.9 juta.
Sebelum itu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menghadapi dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkaitan kesalahan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram