Bongkar kegiatan penipuan warga asing bernilai RM200 juta, SPRM syaki beberapa nama tertentu pihak berkuasa lindungi sindiket


  • Primer
  • Khamis, 23 Feb 2023

SPRM dengan kerjasama Imigresen melakukan 24 serbuan di beberapa lokasi termasuk di tiga pusat panggilan atau 'boiler room', syarikat dan kediaman ahli sindiket yang terletak di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyaki terdapat nama tertentu dalam kalangan badan penguatkuasa yang bertindak melindungi operasi skim penipuan pelaburan bernilai ratusan juta ringgit didalangi warganegara United Kingdom (UK) di Malaysia.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kemungkinan tersebut timbul selepas agensi itu melakukan 24 serbuan terhadap kegiatan tersebut dalam Op Tropicana pada Selasa lalu.

Katanya, serbuan itu dilakukan di beberapa lokasi termasuk di tiga pusat panggilan atau 'boiler room', syarikat dan kediaman ahli sindiket yang terletak di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

"Kita percaya ada agensi penguatkuasa yang disogok, (tapi) ada keterangan yang tidak boleh didedahkan sekarang.

"Tapi saya tidak tolak kemungkinan yang mana ada berkuasa tertentu yg melindungi aktiviti mereka ini kerana mereka ini warga asing datang ke sini untuk beroperasi dan kemungkinan mereka perlukan perlindungan tertentu.

"Jadi itu akan disiasat oleh kita. Daripada serbuan dibuat ini nampak ada nama-nama tertentu yang disyaki terlibat dalam melindungi kegiatan mereka ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media berhubung Op Tropicana bersama Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang diadakan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, pada Khamis.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Pengarah AMLA SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin.

Dalam serbuan berkenaan, seramai 11 orang individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut ditahan manakala seramai 70 orang ditahan oleh pihak Imigresen.

Azam Baki berkata, modus operandi sindiket diketuai oleh individu daripada UK berusia lewat 40-an itu menawarkan portfolio pelaburan tidak wujud menerusi iklan di media sosial dan ahli sindiket terdiri daripada warga Australia, Britain, Afrika Selatan dan Filipina.

Difahamkan, sindiket yang dipercayai beroperasi sejak 2019 itu mengaut hampir RM200 juta daripada mangsa warga Australia dan UK, malah dipercayai memberi suapan kepada pihak berkuasa supaya mereka boleh terus beroperasi.

Azam turut memaklumkan, risikan juga dilakukan dengan kerjasama antara agensi di Australia serta beberapa negara luar dan juga dibuat oleh Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM.

SPRM turut memaklumkan sebanyak 74 akaun milik individu dan syarikat dibekukan, dianggarkan berjumlah RM11 juta.

Azam berkata, Op Tropicana itu melibatkan kerjasama dengan Imigresen, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyber Security Malaysia, Telekom Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram