Individu dakwa SPRM tawar sogokan RM10 juta minta Wan Saiful tukar kenyataan tuduh bekas PM


  • Tular
  • Selasa, 21 Feb 2023

Individu berkenaan mendakwa SPRM menawarkan wang sogokan Wan Saiful (kanan) untuk menukar kenyataan.

TULAR satu video memaparkan seorang individu lelaki mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan wang sogokan kepada Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk memastikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dituduh menerima rasuah.

Difahamkan lelaki dikenali sebagai Mohamad Shafiq Abdul Halim itu merupakan pegawai penyelidik kepada Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Video berdurasi 45 saat berkenaan dimuat naik di halaman Facebook Update info semasa #Update pada Selasa.

"Mohamad Shafiq Abdul Halim, Pegawai Penyelidik Wan Saiful Wan Jan menuduh SPRM menawarkan RM10 juta sebagai wang sogokan untuk memastikan TSMY (Muhyiddin) dituduh menerima rasuah," tulisnya.

Dalam tangkap layar video tersebut, individu berkenaan mendakwa Wan Saiful dipanggil oleh SPRM untuk menukar kenyataan.

"Semalam dia (Wan Saiful) dipanggil oleh SPRM pada pukul 7 petang yang mana pihak SPRM menawarkan kepada Wan Saiful sejumlah RM10 juta.

"Wang itu diberikan sekiranya Wan Saiful menukar kenyataan dan mengatakan bahawa dia menerima arahan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima wang rasuah dan sebagainya," katanya.

Melihat kepada klip video berkenaan, dipercayai video itu dibuat secara langsung melalui aplikasi TikTok.

Namun tidak dapat dipastikan tarikh sebenar video itu dirakamkan.

Pada Selasa, Wan Saiful mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

Wan Saiful yang juga bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur pada Selasa berhubung kes berkenaan.

Majoriti sudah menghubungi SPRM berhubung isu tersebut dan pihaknya akan meneliti video berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram