SEORANG pembantu wanita kepada Ahli Parlimen dari Sarawak diarah meninggalkan kawasan Parlimen, berikutan tidak mematuhi etika berpakaian Parlimen.
Wanita itu pada mulanya diberi amaran oleh seorang kakitangan Parlimen kerana memakai skirt pendek, yang menampakkan paha kirinya.
Petugas media yang ditempatkan di lobi Parlimen menyaksikan kejadian itu apabila pembantu tersebut diarahkan untuk beredar.
"Bawa dia keluar," perintah pegawai Parlimen itu dengan tegas.
Pembantu itu segera meninggalkan kawasan tersebut.
Difahamkan, ini adalah kali pertama pembantu itu memasuki Parlimen.
Selepas dinasihatkan selama beberapa minit, pembantu itu diberi pilihan untuk kembali jika dia menukar skirtnya.
Ketika ditemui pemberita, pegawai Parlimen itu enggan mendedahkan identitinya dan menjelaskan bahawa, pembantu tersebut tidak mengikut etika berpakaian Parlimen.
Pegawai itu juga berkata, beliau menerima arahan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul untuk memantau etika berpakaian Parlimen.
Ahli Parlimen yang menghadiri mesyuarat Dewan Rakyat pada Selasa dikecualikan daripada memakai tali leher.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak terpakai pada petugas media dan pegawai kerajaan lain di Parlimen.
Baru-baru ini, terdapat kes seorang wanita yang dinafikan untuk memasuki balai polis kerana memakai seluar pendek, manakala satu lagi kes menyaksikan seorang wanita dinafikan mendapat rawatan kecemasan kerana memakai seluar pendek. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram