Usaha Siti Mastura bela nasib 3 TikTokers PN hangatkan Dewan Rakyat


  • Politik
  • Jumaat, 17 Feb 2023

Siti Mastura membangkitkan isu tiga wanita TikTokers yang didakwa mengalami gangguan buli siber.

HASRAT Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Masturah Muhammad untuk 'membela' nasib tiga pempengaruh TikTok di Dewan Rakyat terganggu dengan usikan 'pakar peraturan', RSN Rayer yang merupakan Ahli Parlimen Jelutong.

Dalam sesi bahas yang berlangsung pada Khamis, Siti Mastura membangkitkan isu tiga pengguna TikTok wanita yang didakwa diserang dan diganggu termasuk dengan kata-kata lucah dan body shaming selepas memuat naik kandungan menyerang pimpinan kerajaan.

"Apakah pendirian Menteri Komunikasi dan Digital berkenaan isu buli tiga 'TikTokers' wanita yang berdepan serangan maklumat peribadi, 'body shaming'.

"Dalam hal ini, kita harap kementerian tidak menunjukkan dwistandard walaupun mereka ini adalah TikTokers yang menyokong Perikatan Nasional (PN)," katanya ketika membahaskan usul Titah Diraja.

Disebabkan isu tersebut, ramai Ahli Parlimen kerajaan cuba mencelah termasuk Rayer namun Siti Mastura enggan memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk bertanyakan soalan.

Malah Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang itu 'berkeras' meneruskan perbahasan sehingga Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau akhirnya meminta Siti Mastura memberi peluang kepada Rayer untuk membacakan peraturan dewan.

"Peraturan 36(12) menyebut mana-mana ahli Dewan yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina Dewan," kata Rayer mendakwa Siti Mastura juga pernah menggunakan TikTok untuk mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Bagaimanapun belum sempat Rayer menghangatkan lagi suasana Dewan Rakyat, Alice meminta Siti Mastura untuk meneruskan perbahasan.

"Yang Berhormat, sila duduk. Biar Yang Berhormat Kepala Batas habiskan ucapannya," kata Alice yang juga Ahli Parlimen Lanang.

Siti Mastura kemudian bangun untuk meneruskan ucapannya sambil menyindir Rayer dan Ahli Parlimen kerajaan lain yang tidak berpuas hati dengannya.

"Terima kasih tuan Yang Dipertua. Panas tak apa, tapi jangan koyak," kata Siti Mastura.

"Sesiapa yang ingin rehat, sila keluar. Jangan bising," kata Alice secara sinis, sebelum keadaan Dewan Rakyat kembali tenang.

Unit khas wanita muda PAS sebelum ini membantah intimidasi politik yang telah dilakukan ke atas tiga orang Tiktoker wanita muda rentetan video kritikan terhadap pemimpin kerajaan.

Mereka menyifatkan perkongsian gambar dan maklumat peribadi tiga wanita muda tersebut mengundang buli siber serta berlakunya gangguan seksual dan sehingga ke tahap ugutan bunuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram