Atasi masalah sistem IDME, KPM hantar pegawai ke sekolah bantu guru


  • Primer
  • Sabtu, 11 Feb 2023

Fadhlina Sidek akan mengarahkan pegawainya untuk turun ke setiap sekolah di seluruh negara bagi membantu penggunaan sistem Pengurusan Identiti (Idme).

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menggerakkan pegawainya ke sekolah di seluruh negara bagi membantu melancarkan penggunaan sistem Pengurusan Identiti (IDME) oleh guru dengan lebih berkesan dalam waktu terdekat.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, satu sesi libat urus bersama wakil guru juga diadakan pada Jumaat di kementeriannya bagi membincangkan perkara itu, sekali gus menangani segera beberapa masalah sistem yang didakwa menyukarkan guru.

“Kita tidak kompromi mengenai sistem ini, ia isu lama dan kita akan turun ke negeri-negeri yang akan dipimpin pegawai negeri dan daerah untuk bantu guru gunakan sistem Idme. Kita dah ambil beberapa langkah drastik sebenarnya untuk atasi masalah itu.

“Saya juga arahkan sistem ini ditangguh sementara hujung minggu ini supaya semua pihak boleh bertenang di samping kita ambil langkah tertentu, Isnin nanti kita umumkan langkah baharu,” katanya selepas merasmikan festival bakat prasekolah peringkat Negeri Sembilan 2023 di Seremban pada Sabtu.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) dilaporkan meminta KPM menangguhkan penggunaan Idme yang belum stabil, selain mendakwa ia belum sesuai digunakan untuk membuat pengisian markah Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).

Idme yang dibangunkan KPM, diakses secara 'single sign on' iaitu secara tunggal melalui laman webnya dan semua warga pendidik yang mengisi UASA serta pentaksiran bilik darjah mesti melalui sistem itu dan mereka perlu mendaftar masuk.

Dalam pada itu, Fadhlina sekali lagi mengulangi takwim persekolahan akan dikembalikan semula kepada Januari, tetapi bukan dalam waktu terdekat berikutan perlu mengambil kira justifikasi yang perlu diselesaikan mengikut Akta Pendidikan 1996 selain isu ekonomi dan beban kerja guru.

“Kita kekal konsisten, kita akan kembali kepada Januari tetapi bukan sekarang kerana ia melibatkan isu kitaran kanak-kanak yang perlu habis, bilangan hari persekolahan tidak boleh kurang daripada 190 hari dan termasuk isu sampingan lain yang perlu diberi perhatian sehingga kita boleh bermula pada Januari,” katanya.

Sementara itu, Fadhlina meminta pihak sekolah tidak membawa masuk unsur campur tangan politik dalam sebarang program atau acara di institusi berkenaan termasuk menggunakan logo parti politik di sepanduk atau poster. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram