Rakyat cadang 'Menu Rahimah', kurangkan harga bahan mentah


  • Massa
  • Isnin, 06 Feb 2023

Menu Rahmah disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan.

PROGRAM Menu Rahmah yang baru sahaja diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan pada Selasa lalu mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat.

Walaupun ia mendapat respons yang positif daripada penduduk di bandar selepas beberapa hari dilancarkan, namun segelintir masyarakat masih berpendapat ia belum dapat mengurangkan beban kos sara hidup.

Hal ini kerana, rata-rata masih ramai yang mengeluh harga barangan harian tidak menurun.

Pada masa sama, program itu hanya dilihat memberi kelebihan kepada penduduk di bandar dan bukannya masyarakat di luar bandar.

Selain itu, wujud juga tanggapan menu Rahmah tidaklah semurah seperti yang dijangkakan sekiranya ia melibatkan jumlah keluarga yang besar.

Melalui hasil tinjauan Majoriti di media sosial pada Selasa mendapati, Hazeq Haziq merasakan program itu tidak sesuai dan lebih mengharapkan agar kerajaan menurunkan harga barang-barang mentah.

"Kami anak ramai bukannya hari-hari pergi makan dekat kedai, kami lebih mengharapkan harga bahan-bahan mentah dikurangkan," tulisnya.

Seorang lagi warganet, Makcik Kiah berkata, kerajaan sepatutnya mencari solusi turunkan harga bahan mentah kerana kalau mampu sediakan Menu Rahmah mesti mampu turunkan harga.

"Kerajaan perlu cari solusi turunkan harga bahan mentah, tidak perlu susah-susah mencari mana kedai kedai yang ada jual Menu Rahmah ini," katanya.

Seorang lagi pengguna, Wanie Johari Sim merasakan Menu Rahmah yang dilancarkan itu hanya sesuai untuk orang bujang sahaja dan turut mencadangkan kerajaan membuat program menurunkan harga barang.

"Menu Rahmah ini sesuai untuk orang bujang atau jenis makan bungkus saja tetapi kena fikir untuk isi rumah ramai.

"Better buat Menu Rahimah pula, menu barang basah. Untuk yang jenis berkeluarga besar. Dapat lagi berjimat dan boleh guna stok sekali beli bahan-bahan untuk memasak hari-hari," cadangnya.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, orang ramai kini boleh menikmati makanan tengah hari dan malam masing-masing pada harga RM5 di hampir 15,000 premis makanan di seluruh negara melalui Program Menu Rahmah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram