SEORANG pegawai perubatan di Selangor mendakwa pihak atasan tidak bertolak- ansur dengan kakitangan bawahan kerana tidak memahami kekangan yang dihadapi mereka.
Perkara tersebut merupakan salah satu luahan pekerja dalam bidang perubatan yang dikongsikan CodeBlue di laman Facebooknya.
Menurut individu berkenaan, orang atasan yang merancang sesuatu program tidak memahami kekangan pekerja bawahan.
"Kadang-kadang mengeluarkan arahan yang merepek, seperti memanjangkan masa perkhidmatan. Namun, staf masih tiada tambahan," katanya.
Antara luahan perasaan yang diluahkan oleh kakitangan kesihatan pada CodeBlue. — Facebook/CodeBlue
Antara luahan lain yang dikongsikan di halaman Facebook tersebut ialah mengenai kebajikan pekerja wanita yang tidak dijaga.
Menurut seorang pegawai farmasi yang bertugas di Selangor, cuti bersalin dilulus 60 hari sahaja atas sebab kekangan anggota klinik lain.
Ada juga anggota yang bertugas akan ditarik atau dikerah untuk membantu masalah tenaga kerja klinik lain.
"Pihak atasan wanita meminta kakitangan wanita untuk merancang kehamilan supaya bercuti bersalin sebanyak 90 hari dapat diluluskan.
"Bayangkan situasi di mana anda perlu merancang kehamilan dengan rakan sekerja anda untuk elakkan cuti bersalin bertindih," luahnya.
Melihat kepada luahan tersebut, pekerjaan sebagai petugas kesihatan tidaklah seindah seperti yang disangkakan oleh orang awam.
Hasil tinjauan soal selidik CodeBlue. — Facebook/CodeBlue
Mereka juga mengalami masalah yang sama seperti pekerja lain di luar sana. Hasil tinjauan soal selidik CodeBlue yang diterbitkan laman web berita kesihatan CodeBlue, 62 peratus daripada 798 orang pekerja tetap dalam sistem kesihatan awam Malaysia ingin letak jawatan.
Manakala 41 peratus daripada mereka bersedia mengambil bahagian sekiranya ada pihak menganjurkan mogok.
Dalam soal selidik dalam talian dijalankan secara eksklusif itu juga mendapati sebanyak 74 peratus responden berasakan diri sedang menghadapi tekanan atau 'burnout'.
Lebih mengejutkan CodeBlue mendedahkan satu perempat daripada kakitangan tetap yang mengambil bahagian dalam kaji selidik tersebut dan menyatakan hasrat ingin berhenti adalah dalam kalangan pakar perubatan.
Dari segi jantina yang mengambil bahagian dalam tinjauan itu, 53 peratus adalah wanita dan 40 peratus lagi lelaki, dengan separuh daripada 1,652 responden itu berumur 30 hingga 39 tahun.
Azrul Mohd Khalib. — Facebook
Sementara itu, pengamal perubatan yang juga seorang penulis, Azrul Mohd Khalib di CodeBlue mendakwa ada pihak tertentu yang cuba menjejaki identiti petugas kesihatan mendedahkan luah perasaan mereka melalui CodeBlue.
Dia memaklumkan perkara tersebut melalui satu ciapan di Twitter peribadi miliknya baru-baru ini.
Azrul turut meminta pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menghentikan 'gerakan dalaman' untuk mengenakan kakitangan bawahan.
"Anda kena sedar anda bekerja untuk rakyat dan kebenaran akan membebaskan anda," tulisnya.
Dalam perkembangan lain, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menerusi ciapan di Twitternya pada Khamis lalu menyatakan KKM memandang serius pandangan dan maklum balas oleh petugas kesihatan negara mengenai sistem semasa.
Dr. Zaliha Mustafa. — Bernama
“KKM dalam proses merangka langkah-langkah untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan dengan mengambil pendekatan secara bersasar bagi melakukan reformasi sistem kesihatan.
“Isu-isu berbangkit seperti kebajikan, kesihatan fizikal dan mental petugas kesihatan, sistem sumber manusia, penetapan gaji yang saksama, jaminan pekerjaan serta isu-isu lain sentiasa menjadi keutamaan KKM memandangkan tiada penyelesaian mudah untuk isu-isu ini,” tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram