[VIDEO] Selepas bolos 3 gol, sepakan penalti tersasar Safiq Rahim jadi bahan 'troll' Zenit


  • Podium
  • Selasa, 07 Feb 2023

Safiq Rahim gagal menyempurnakan peluang yang terhidang pada minit ke-86 permainan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

AKSI pemanas badan Johor Darul Takzim (JDT) sebelum kempen Liga Super 2023 diisi pelbagai kenangan dan pengalaman penting buat pasukan tersebut.

Antara perkara yang menarik perhatian ialah kekalahan skuad kendalian Estaben Solari itu di tangan kelab Rusia, Zenit St Petersburg.

Pertembungan yang diadakan di Stadium Maktoum bin Rashid Al Maktoum, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyaksikan JDT tumpas dengan skor 0-3.

Skuad Harimau Selatan dilihat gagal menyaingi juara Liga Perdana Rusia itu yang menurunkan hampir kesemua tonggak pasukan dalam perlawanan berkenaan.

Namun, pasukan Selatan tanah air itu mula mendapatkan rentak pada separuh masa kedua permainan dengan pemain dilihat lebih yakin dalam membuat hantaran.

Malah, mereka turut diberi peluang keemasan untuk merapatkan jurang skor selepas pengadil perlawanan menghadiahkan penalti pada minit ke-85.

Bagaimanapun, usaha mereka dalam membawa pulang sebarang perkara positif daripada aksi tersebut bertukar kepada kehampaan selepas pemain tengah, Safiq Rahim gagal menjaringkan gol.

Bagi penyokong Harimau Selatan, kesilapan tersebut tidaklah perlu digembar-gemburkan melihat kepada status pertembungan itu hanyalah satu aksi pemanas badan.

Tetapi, bagi kelab Rusia itu, mereka berasakan ia merupakan satu peluang untuk melakukan 'usikan' terhadap JDT dan peminat setia bola sepak tanah air.

Berdasarkan satu hantaran di TikTok Zenit pada Isnin, kegagalan Safiq Rahim itu dijadikan bahan jenaka dengan hampir 1.5 juta pengguna media sosial menyaksikannya.

Tinjauan di ruangan komen mendapati ribuan penyokong bola sepak negara sepertinya bergembira dengan video pendek yang dimuat naik itu.

Pada aksi berkenaan, Zenit terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke-10 menerusi rembatan Rodrigao selepas menerima hantaran lintang daripada Danil Krugovoy.

Lima minit kemudian, bekas pemain B-23 Brazil, Malcom menambah gol kedua untuk Zenit apabila rembatan lencongnya dalam kawasan kotak penalti mudah menewaskan penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias.

Pada minit ke-31, pendahulu Liga Perdana Rusia itu memperolehi gol ketiga menerusi Daniela Kozlov yang tidak dikawal, sekali gus menyudahkan hantaran lintang cantik dari sebelah kiri dalam situasi kelam kabut.

Skuad Harimau Selatan akan pulang ke tanah air untuk membuat persiapan terakhir sebelum memulakan kempen Liga Super 2023 bertemu naib juara Liga Super 2022, Terengganu untuk aksi Piala Sumbangsih sebagai aksi pertama musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram