TULAR di media sosial seorang pemandu lori yang dipercayai terlibat pergaduhan sebelum memandu secara melulu hingga mahu merempuh orang ramai yang sedang makan.
Kejadian tersebut berlaku di sebuah kedai makan Jalan Kerapu, Taman Permai 3, Seremban, Negeri Sembilan.
Menerusi video tersebut, pemandu lori berkenaan terlibat bertengkar dengan seorang penunggang motosikal.
Selepas bertengkar, pemandu itu memecut lorinya dengan laju sebelum berundur dan nyaris melanggar beberapa pengunjung lain yang sedang makan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan suspek iaitu lelaki beruia 46 tahun ditahan kira-kira pukul 8 malam pada Ahad.
"Siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku pada 4 Februari lalu lebih kurang pukul 10 malam. Insiden melibatkan sebuah lori jenis Toyota Dyna Hiace berwarna putih yang dipandu seorang lelaki 46 tahun seorang diri.
"Dia cuba merempuh seorang penunggang motosikal dengan mengundurkan lori yang dipandunya ke arah penunggang motosikal tersebut berpunca daripada pertengkaran kecil dan rasa tidak puas hati," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Nanda, soal siasatan mendapati suspek mengaku melakukan perbuatan mengundur dan cuba merempuh penunggang motosikal terlibat di lokasi kejadian seperti yang dirakam di dalam video tular.
Ujarnya, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
"Saringan awal air kencing juga telah dijalankan ke atas suspek dan mendapati keputusan adalah negatif. Permohonan reman akan dimohon untuk siasatan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram