[VIDEO] Keadaan gempa bumi di Syria ibarat zon perang — Doktor


  • Benua
  • Selasa, 07 Feb 2023

Pasukan penyelamat sedang menyelamatkan mangsa terperangkap di Hama, Syria. — Agensi

SEORANG pakar kesihatan, Dr Osama Sallom yang bertugas di salah sebuah hospital di utara Syria menyifatkan keadaan di kawasan tersebut tidak ubah seperti 'zon perang'.

Usaha gigih untuk menyelamatkan ratusan yang terperangkap di bawah runtuhan diteruskan selepas gempa bumi besar melanda tenggara Turkiye dan utara Syria pada awal Isnin.

Difahamkan tragedi tersebut mengorbankan lebih 3,800 penduduk dan angka itu dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

Menurut Dr Osama Sallom yang bertugas di Hospital Bab Al Hawa, pusat perubatan tersebut menerima lebih 400 mangsa dan melaporkan lebih 50 kematian setakat Isnin lalu.

"Kebanyakan pesakit adalah kanak-kanak yang mengalami pendarahan dan mati akibat kesejukan (selepas tersepit di bawah serpihan).

"Kami mencari di bawah runtuhan, tetapi ia sangat sejuk. Pasukan penyelamat terpaksa bekerja dibawah suhu negatif satu darjah celcius mencari mangsa yang tertimbus.

"Kami menerima lebih ramai pesakit setiap masa. Hospital juga dipenuhi dengan pesakit," katanya.

Dr Sallom yang juga merupakan salah seorang anggota Syrian American Medical Society (SAMS) berkata, mereka juga mengalami masalah kekurangan kakitangan dan peralatan perubatan.

"Semua wad dipenuhi pesakit terutamanya wanita dan kanak-kanak.

"Semua katil kami penuh dan mangsa terpaksa berbaring di atas lantai. Selepas beberapa jam, hospital tidak akan mempunyai ruang untuk menempatkan mangsa yang memerlukan rawatan.

"Keadaan ini mengingatkan saya seperti zon perang. semua orang trauma," katanya.

Tambah Dr Sallom lagi, bunyi sirens ambulans yang menghantar mangsa juga kedengaran setiap masa, namun bukan semuanya dapat diselamatkan.

"Keadaan menjadi lebih parah selepas sempadan di wilayah Atareb ditutup sepenuhnya sekali gus menyebabkan pesakit tidak dapat dirujuk ke Turkiye.

"Kami perlu menangani sendiri kecederaan yang rumit dan hospital hanya mempunyai peralatan perubatan yang asas sahaja. Kebanyakan mangsa gempa bumi yang terselamat perlu menunggu tiga atau empat jam untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Benua Syria

Dr Osama Sallom. — Agensi

Menurutnya lagi, kakitangan hospital yang bertugas juga ada yang kehilangan ahli keluarga.

"Ia adalah malapetaka dan kami sendiri takut. Rakan saya, pengurus hospital, kehilangan keluarganya manakala isteri dan anak saya berada di Turkiye," katanya.

Keadaan itu mengingatkan Dr Sallom tentang pengeboman Aleppo pada 2016 yang memusnahkan hospital, rumah dan membunuh ratusan orang awam.

“Saya sangat sedih, kejadian ini lebih teruk bagi rakyat Syria kerana kita telah hidup bertahun-tahun sebagai negara yang dilanda perang.

"Kami kehilangan harapan untuk menyelamatkan kanak-kanak kerana keperluan besar untuk bahan habis pakai dan ubat-ubatan yang akan kehabisan dalam beberapa jam akan datang," luahnya kepada media antarabangsa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram