[VIDE0] Macam adegan filem, mat salih mabuk bikin kecoh tumbuk pemilik kedai, kacau pelanggan di Petaling Street


  • Tular
  • Ahad, 05 Feb 2023

Tangkap layar memaparkan seorang warga asing membuat kecoh di sebuah kedai makan di Petaling Street, Kuala Lumpur baru-baru ini.

ANGKARA arak durjana, seorang lelaki warga asing disyaki mabuk dengan beraninya bertindak menumbuk seorang lelaki tempatan walaupun dikelilingi beberapa orang pegawai polis baru-baru ini.

Kejadian itu dipercayai berlaku di hadapan sebuah kedai makan di Petaling Street, Kuala Lumpur.

Menerusi video tular dimuat naik oleh @NDIES1NS di akaun Twitter miliknya pada Sabtu memaparkan warga asing tersebut pada mulanya dilihat duduk di laluan pejalan kaki premis kedai ketika mangsa yang merupakan pemilik sebuah premis makanan sedang berbincang sesuatu dengan pihak polis.

Secara tiba-tiba, warga asing dipercayai berasal dari Amerika Syarikat tersebut bangun dan terus menumbuk mangsa di hadapan pegawai polis yang bertugas.

Dalam video berdurasi 43 saat itu juga, kelihatan beberapa pegawai polis yang berada di lokasi cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.

Seorang lagi saksi kejadian, @haiqalamn berkata, kejadian tersebut berlaku ekoran warga asing tersebut enggan membayar minumannya sehingga berlaku pertengkaran dengan pemilik kedai tersebut.

“Lelaki ini minum dan makan dekat sebuah kedai. Dia minum nak dekat 10 botol tetapi tiada duit nak bayar. Lepas itu, kurang ajar dengan pemilik dan cari gaduh.

“Dia yang mula menumbuk dulu, lepas itu baru pemilik balas. Mereka bergaduh sampai polis leraikan,” ciapnya.

Menurut @qat yang turut berada di tempat kejadian ketika insiden itu berlaku, warga asing tersebut yang memulakan pergaduhan.

"Dia (warga asing) bising dan buat kecoh tak nak bayar. Dah minum alkohol berlagak berani, masa kena tangkap pun dia boleh jerit 'I am American'. Lawak betul, dia ingat dia hebat sangat ke jadi orang America.

"Dia bukan setakat bergaduh dengan pemilik kedai, pelanggan lain pun dia kacau. masa itulah ada orang call polis. Aku nampak dia macam orang gila masa dia mabuk, terjerit-jerit.

"Macam filem tengok meja dan kerusi berterbangan dengan meja-meja aku sekali hilang entah ke mana masa mereka kecoh-kecoh bergaduh," tulisnya.

Difahamkan selepas kekecohan tersebut berlaku, warga asing berkenaan sudah ditahan oleh pihak polis.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram