TULAR satu video yang memaparkan jet pejuang F-22 milik Amerika Syarikat (AS) menembak jatuh sebuah belon pengintip dipercayai alat perisik milik negara China selepas ia dilihat terapung beberapa hari di ruang udara.
Menurut pegawai Pentagon, belon pengintip tersebut dilihat terbang beberapa hari terbang di atas ruang udara Amerika Utara.
"Ia sekaligus meningkatkan ketegangan antara Washington dan Beijing. Belon tersebut kemudiannya ditembak jatuh dengan menggunakan peluru berpandu dari pesawat F-22 dan jatuh ke dalam air yang agak cetek," katanya memetik laporan media antarabangsa hindustantimes.com.
Rakaman yang dirakam oleh @RealPhotoholic di Instagram casual_Photoholic menunjukkan detik ketika belon pengintip China ditembak jatuh oleh peluru berpandu tunggal dari jet pejuang F-22 dari Pangkalan Tentera Udara Langley.
Sementara itu, menurut saksi kejadian, Haley Walsh mengaku 'mendengar dan merasakan letupan' di Myrtle Beach, sebuah bandar peranginan popular di South Carolina.
"Belon itu kelihatan hancur dalam kepulan putih sebelum saki-bakinya jatuh secara menegak ke dalam lautan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin menyifatkan operasi tersebut sebagai 'tindakan yang disengajakan dan sah' yang dibuat sebagai tindak balas kepada 'pelanggaran kedaulatan Amerika yang tidak boleh diterima' oleh China.
Seorang pegawai pertahanan AS pula berkata, pihaknya akan mengutip serpihan yang jatuh dari perairan wilayah AS tersebut.
"Pihak tentera akan mengambil belon pengintip itu dengan cara yang tidak akan menimbulkan ancaman kepada keselamatan rakyat Amerika”, lapor AP.
Sebelum ini, Presiden AS Joe Biden berjanji untuk menghapuskan belon pengintip itu.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada juruterbang pejuang yang terlibat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram