Noktah 'Lagak A.Mamud', kartunis legenda Fatah Ngah meninggal dunia


  • Massa
  • Ahad, 05 Feb 2023

Kartunis Fatah Ngah meninggal dunia pada usia 70 tahun.

KARTUNIS legenda terkenal Fatah Ngah meninggal dunia pada pukul 1.45 pagi Ahad.

Allahyarham yang berumur 70 tahun cukup popular dengan watak ciptaannya Lagak A. Mamud di majalah humor, Gila-Gila.

Berita duka kehilangan pelukis kartun tanah air itu dimaklumkan oleh adiknya, Manan Ngah yang juga komposer terkenal melalui Facebook.

"Semoga beroleh pengakhiran yg baik-baik buat abang kandungku Fatah Ngah @ lagak A.Mamud (70 tahun).

"Beliau telah pulang kerahmatullah awal pagi tadi sekitar 01:45 pagi.

"Bakal disemadikan di perkuburan Syed Yahya Dungun 11 pagi ini (Ahad) insyaALLAH.

"Kepada yang mengenali maafkanlah segala kesalahan beliau terhadap anda sekiranya ada. Innalillahi wainnahilaihirajioun. ~ MN 05.02.23," tulisnya.

Sementara itu, pelakon dan pelukis tanah A. Rahim Muda atau lebih dikenali sebagai Imuda turut mengzahirkan ucapan takziah di halaman Facebook miliknya.

“Telah perginya seorang kartunis seangkatan dangan aku Fattah, al-Fatihah, semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin,” kata Imuda ringkas di media sosial.

Pada tahun 2015, Allahyarham Abdul Fatah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kartunis Malaysia yang disampaikan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum mencipta nama di Gila-Gila, beliau juga pernah melukis untuk majalah Bambino dan Medan Pelajar.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram