[VIDEO] Tak sempat keluar, bompa jumpa mayat lelaki rentung depan pintu pangsapuri Flora Damansara


  • 112
  • Rabu, 01 Feb 2023

Tangkap layar keadaan kebakaran sebuah unit pangsapuri di Flora Damansara, Petaling Jaya pada Selasa. — Facebook

SEORANG lelaki maut dipercayai terperangkap dalam sebuah kebakaran di dalam pangsapuri di Flora Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Mangsa yang berumur 30 tahun ditemui mati berhampiran pintu rumahnya dipercayai cuba menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis menerima laporan daripada orang awam pada pukul 9.12 malam Selasa.

“Kebakaran berlaku di sebuah unit di tingkat 21 pangsapuri berkenaan. Dalam kejadian tersebut, saksi mendakwa terdengar bunyi letupan yang kuat serta bunyi kaca pecah.

"Saksi berkenaan cuba untuk masuk ke dalam rumah mangsa, namun gagal kerana api marak.

"Pada masa sama, Pasukan Bomba dan Penyelamat berhadapan kesukaran memadamkan kebakaran pada awalnya kerana masalah tekanan air yang rendah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Fakhrudin, ketika ditemui, mayat mangsa mengalami 40 peratus melecur di badan.

"Pasukan Forensik dari Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras telah mengambil dua sampel iaitu cebisan baju dan kulit mayat bagi membantu siasatan.

"Kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR), mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat

"Orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian, mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Sarjan Ahmad Sabran Abdullah di talian 010-5585040 bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis dilaporkan berkata, Pusat Gerakan Operasi Selangor menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.13 malam.

Seramai 25 anggota dan pegawai serta lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara, BBP Kota Anggerik, BBP Sungai Buloh, BBP Seksyen 7 dan BBP Puchong bergegas ke lokasi kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram