SEORANG lelaki warga emas hanya mampu tercengang selepas diragut dua penjenayah selepas mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Klebang Jaya, Chemor, Ipoh, Perak pada Isnin.
Dalam rakaman video berdurasi 46 saat itu, memaparkan mangsa pada waktu kejadian sedang mengisi minyak motosikalnya sebelum kedua-dua suspek datang dari arah belakang menggunakan motosikal.
Salah seorang daripada suspek kemudiannnya turun dari motosikal berkenaan dan memerhati keadaan sekeliling dalam keadaan yang mencurigakan.
Setelah mendapati keadaan di stesen minyak itu agak lengang untuk mereka melakukan jenayah, suspek terus menghampiri dan meragut mangsa.
Hanya mengambil masa beberapa saat, kedua-dua suspek terus melarikan diri menggunakan motosikal daripada lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian berlaku pada pukul 9.48 pagi Isnin apabila mangsa yang berusia 65 tahun selesai mengisi minyak motosikalnya di stesen minyak tersebut.
Menurutnya, dua suspek yang tidak dikenali berpakaian hitam menaiki sebuah motosikal berhenti di belakang mangsa sebelum meragut rantai leher emas berkenaan.
"Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak terbabit mendapati kejadian tersebut berlaku sepertimana diceritakan oleh pengadu.
"Anggaran kerugian sebanyak RM5,000 manakala pengadu tidak mengalami kecederaan," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Jelas Yahaya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan.
Pada masa sama, dia turut meminta mana-mana saksi kejadian tersebut atau mempunyai rakaman kamera kenderaan yang merekod maklumat kenderaan suspek untuk tampil membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram