REZEKI bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin nampaknya tidak putus-putus masuk selepas terbaharu beliau ditawarkan jawatan penyampai radio di stesen radio Hot FM.
Penawaran kerja tersebut hadir selepas bekas Ahli Parlimen Rembau itu dipecat keahlian daripada parti oleh Majlis Tertinggi Umno pada Jumaat lepas.
Menerusi sepucuk surat rasmi dari Hot FM, Khairy ditawarkan jawatan sebagai pengacara radio bagi segmen Bekpes Hot untuk bergandingan bersama tiga Fara Fauzana, Johan dan Muhammad Azmir Selamat atau AG.
"Kami mengalu-alukan kedatangan penyampai- penyampai baharu.
"Kami percaya gandingan terbaharu ini bakal menjadi gandingan yang hangat dan terbaik," tulis surat bertarikh 28 Januari 2023 itu.
Tangkap layar foto surat itu turut dimuat naik di media sosial Hot FM dengan tanda pagar #KjJadiDj.
Tambah surat itu lagi, pihak Hot FM amat berbesar hati dan berharap agar Khairy menerima tawaran tersebut.
Namun menurut pegawai Khairy kepada Majoriti, surat itu mungkin gurauan daripada Hot FM.
Selain tawaran sebagai penyampai radio, KJ juga dikhabarkan bakal menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan penasihat pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT).
Perkara itu dikongsikan menerusi status yang dimuat naik oleh pemilik kelab tersohor itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim Ismail (TMJ) pada Sabtu malam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram