ANAK bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Mohd Nazifuddin menawarkan diri bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti akan datang.
Ahli Pemuda Umno Bahagian Langkawi itu berkata, jika diberi peluang menjawat jawatan berkenaan, dia akan memfokuskan kepada golongan pengundi lepasan sekolah supaya mereka dapat membantu Umno untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Menurutnya, keutuhan berpasukan, persepaduan dan kesepakatan dalam setiap gerak kerja amatlah diperlukan.
"Sebagai ahli parti, sudah pastinya ini elemen utama yang menjadi inti pati yang sekian lama menjadi didikan pada diri saya. Boleh saya sumbangkan kembali kepada parti yang banyak berjasa ini.
"Bukan sahaja untuk orang Melayu malahan kepada keseluruhan rakyat Malaysia juga. Maka dengan penuh rendah hati, saya mohon sokongan dari seluruh sahabat Pemuda Umno seluruh Malaysia," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Ahad.
Sementara itu, Mohd Nazifuddin berkata, dia mahu membantu Pemuda Umno menarik golongan muda bersama-sama memperkukuhkan wadah perjuangan berkenaan.
"Sebagai seorang ahli dalam persatuan sukan, saya berasakan ia satu kelebihan untuk mendampingi golongan muda seterusnya mendorong mereka bersama kita (Umno).
"Saya turut ingin menyumbangkan kudrat dalam memartabatkan kegiatan sukan, mencungkil bakat dan kemahiran, meninggikan taraf ekonomi serta kepelbagaian aktiviti berfaedah untuk golongan muda," katanya.
Mohd Nazifuddin juga sedar cabaran utama adalah menarik minat dan sokongan orang muda untuk kembali kepada Umno.
"Oleh itu saya bersedia mendepani perkara utama ini," katanya.
Jawatan Naib Ketua Pemuda Umno disandang Shahril Hamdan, bagaimanapun beliau digantung enam tahun oleh parti berkenaan pada Jumaat lalu.
Pemilihan Umno akan dimulakan dengan mesyuarat dan pemilihan bagi jawatankuasa Cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri Cawangan mulai 1 Februari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram