[VIDEO] Kisah anak yatim 11 tahun berkorban jaga ayah sakit kronik meruntun jiwa netizen


  • Benua
  • Isnin, 30 Jan 2023

Rahmad terpaksa menempuh perjalanan selama lapan jam untuk menghantar ayahnya mendapatkan rawatan di hospital. — Agensi

KEHIDUPAN seorang kanak-kanak lelaki tidak seperti rakan sebaya lain apabila terpaksa berkorban menjaga bapanya yang menderita sakit kronik.

Bukan itu sahaja, budak lelaki tersebut sanggup berhenti sekolah melupakan cita-cita demi menjaga bapa tersayang.

Walaupun kejadian itu berlaku di salah sebuah daerah di Indonesia, namun kisah menyayat hati dikongsikan oleh seorang individu, Azmi Murtala melalui Facebook itu mendapat perhatian daripada warga maya.

Menurut Azmi, budak lelaki itu baru berusia 11 tahun namun sudah memikul beban berat menjaga ayahnya yang sakit.

Katanya, Rahmad Aulia berasal dari daerah Pidie Jaya, Aceh menunggang motosikal yang diubah suai untuk membawa ayahnya mendapatkan rawatan ke Rumah Sakit Cut Mutia, Aceh Utara.

"Kanak-kanak itu sepatutnya berada di sekolah namun demi kasih kepada bapanya dia sanggup berkorban.

"Rahmad Aulia, pelajar kelas 6 SD berasal Ulim Pidie Jaya kelihatan penat di tepi jalan Medan-B Aceh berdekatan dengan Peusangan, Bireuen. Di atas motosikal yang diubah suai, sesekali dia melihat ke arah bapanya yang sedang menahan kesakitan," tulisnya.

Menurut Azmi lagi, Rahmad akan membawa ayahnya ke hospital 10 hari sekali untuk mendapatkan rawatan menggunakan motosikal tersebut.

"Perjalanan mengambil masa lebih lapan jam, jelas bukan waktu yang singkat. Apatah lagi ia terpaksa dilalui oleh seorang kanak-kanak semuda itu.

"Bagi kos perbelanjaan rawatan, Rahmad menggunakan wang hasil upah bekerja sebagai pembantu penarik pukat.

"Dia akan menyimpan wang untuk keperluan kos rawatan ayah dan kakaknya. Ibu Rahmad sudah meninggal dunia dan kini dia menggalas tugas menjaga bapanya yang sakit," tambahnya.

Rahmad juga memilih untuk menghantar ayahnya ke Rumah Sakit Cut Mutia kerana hanya di hospital itu sahaja yang mempunyai alat perubatan khas yang digunakan untuk merawat ayahnya selain Rumah Sakit Zainoel Abidin Banda Aceh.

Pada masa sama, Azmi turut berkongsi video menunjukkan keadaan Rahmad yang kepenatan di tepi jalan sebelum mereka dibawa ke hospital menggunakan ambulans dengan bantuan lelaki dikenali sebagai Pak Yanto. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram