Pengawal keselamatan direman, bantu siasatan lelaki dipukul hingga mati di Kelantan


  • 112
  • Isnin, 30 Jan 2023

Seorang pengawal keselamatan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada Ahad.

POLIS menahan seorang pengawal keselamatan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada Ahad.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil siasatan mendapati mangsa berada di Masjid Pulau Melaka bagi menunaikan solat.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 6.30 petang Ahad, mangsa mengamuk dan berlaku pergelutan dengan pengawal keselamatan masjid yang bertugas.

"Mangsa berjaya ditahan dengan bantuan daripada pelajar-pelajar Maahad Tok Guru.

"Polis yang tiba kira-kira 7 malam mendapati lelaki terbabit berada dalam keadaan terbaring. Pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian mengesahkan lelaki tersebut meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Muhamad Zaki berkata, susulan itu pengawal keselamatan terbabit telah ditahan dan proses permohonan reman akan dilakukan.

"Seramai 12 orang saksi termasuk pelajar, warden dan tukang masak maahad tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu mematikan orang dengan salah,” katanya.

Muhamad Zaki berkata siasatan lanjut mendapati pada Sabtu, ibu mangsa membuat laporan polis selepas lelaki tersebut mengamuk di rumahnya di Pasir Puteh serta mencederakan neneknya.

"Mangsa kemudian keluar rumah dan tidak balik,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram