POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket penipuan jual beli barang kemas dalam talian susulan penahanan empat individu menerusi dua serbuan berasingan di ibu negara dan Selangor, Khamis lepas.
Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, empat individu yang ditahan itu berumur 26 hingga 45 tahun terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita termasuk seorang bertaraf pemastautin tetap yang disyaki dalang utama sindiket terbabit.
Noorsiah berkata, sindiket itu dipercayai aktif menjalankan penipuan sejak pertengahan 2022 dengan mewujudkan kumpulan melalui aplikasi Telegram dan Instagram bagi mengiklankan barang kemas dan seterusnya mencari mangsa.
"Mangsa yang berminat dengan barang kemas yang diiklankan akan dihubungi oleh ahli sindiket dan akan diarahkan untuk membuat pembayaran ke akaun tertentu.
Namun setelah pembayaran dilakukan, barang kemas yang dijanjikan tidak diterima mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau juga percaya, sekurang-kurangnya enam kes yang dikaitkan dengan kerugian berjumlah RM17,100 dengan kumpulan itu berjaya diselesaikan, . — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram