PENYERANG muda berbakat, Mohd Rafieq Al-Amzar Zulkefli akhirnya kembali ke Malaysia untuk menandatangani kontrak bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi pasukan Liga Simpanan Bawah 23 tahun (B-23).
Perkhabaran gembira itu disuarakan sendiri oleh anak jati Selangor tersebut menerusi temu bualnya bersama media tempatan baru-baru ini.
Dalam temu bual tersebut, pemain berusia 20 tahun yang lebih dikenali sebagai Amzar itu membuat keputusan untuk pulang ke tanah air sebelum kembali semula ke Eropah.
Menurut Amzar, dia tertarik untuk menyertai pasukan di bawah kendalian Rosle Md Derus kerana ia memberikan peluang pada dirinya untuk bermain di Liga Malaysia.
Keputusan Amzar untuk menyertai skuad KDA FC B23 sebenarnya memberikan kelebihan pada 'squad depth' pasukan utama skuad Sang Kenari di bawah kendalian jurulatih Nafuzi Zain.
Hal tersebut kerana dalam usaha skuad Hijau Kuning memberikan saingan sengit pada Liga Super 2023, kemasukan Amzar itu sudah semestinya memberikan satu nilai tambah pada skuad utama.
Ini kerana pasukan utama itu akan mempunyai pelapis penyerang muda jika ada pemain yang tidak dapat beraksi atau diturunkan atas faktor kecederaan dan sebagainya.
Selain itu, pemain muda itu mempunyai pengalaman beraksi di liga luar negara apabila berkelana di Bosnia bersama NK Zvijezda Gradacac selama dua tahun jika dibandingkan dengan ubi muda pasukan lain.
Antara aksi menarik menarik yang ditujukkan Amzar bersama pasukan NK Zvijezda Gradacac U19
Pada masa sama, Nafuzi sebagai jurulatih berpengalaman boleh menggilap bakat Amzar untuk diketengahkan dalam skuad utama.
Selain itu, pengalaman Amzar yang sudah biasa bermain dengan pemain yang berfizikal besar juga memberikan kelebihan untuk dirinya bersama pasukan senior.
Jika dilihat pada kekuatan pasukan Kedah terutamanya di bahagian jentera hadapan, ketiadaan penyerang untuk berganding bersama penyerang import, Wilian Lira mampu membuatkan Amzar berada dalam skuad utama.
Amzar merupakan diantara pemain muda yang beraksi di luar negara selepas Luqman Hakim. — Instagram/Amzar
Pemilihan Amzar untuk menyertai pasukan KDA FC B23 juga adalah satu pelaburan yang menguntungkan kerana gandingan Amzar bersama pemain muda yang lain seperti Alfi Rasid dan Aiman Afif juga sudah semestinya memantapkan lagi pasukan tersebut untuk masa akan datang.
Bagaimanapun, peluang Amzar untuk bermain dalam skuad utama adalah bergantung kepada peraturan yang ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL).
Ini kerana belum ada peraturan jelas sama ada pemain pasukan skuad Presiden atau Liga Simpanan boleh 'naik pangkat' ke skuad Liga Super jika diperlukan.
Untuk rekod, Liga Simpanan atau ‘Reserve League’ diperkenalkan buat skuad B-23 pasukan bertanding bagi memastikan pemain-pemain muda selepas usia 21 tahun dijaminkan minit permainan.
MFL turut menjelaskan yang Liga Simpanan akan beroperasi sebagai ‘persediaan pemain’ melangkah ke Liga Super antaranya untuk pemain berusia 23 tahun ke bawah serta menjadi platform pemulihan pemain senior.
Nama Amzar mula meniti bibir peminat selepas ubi muda ini berjaya menjaringkan dua gol buat kelabnya, NK Zvijezda Gradacac U19 menewaskan FK ilicka U19 5-0 pada tahun lalu.
Sejak dari itu, Amzar mula mengukir nama dan sejarahnya tersendiri bermain di luar negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram