Hero mirip YB selamatkan 3 mangsa, Myvi terjunam Tasik Merdeka di Batu Pahat


  • Tular
  • Selasa, 17 Jan 2023

Muka lelaki mirip Maszlee Malik yang dikenali sebagai Jai (kiri) menjadi tular kerana menyelamatkan mangsa kemalangan Myvi terjunam ke dalam Tasik Merdeka di Batu Pahat pada petang Selasa.

TIGA sekawan berdepan detik mencemaskan selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan pada tengah hari Selasa.

Dalam gambar tular yang dimuat naik di halaman Twitter @My_crimeWatch memaparkan sebuah kereta terjunam dalam Tasik Merdeka, Batu Pahat di Johor.

"Kemalangan melibatkan sebuah kereta yang hilang kawalan dan terjunam ke dalam tasik di Tasik Merdeka, Batu Pahat sebentar tadi (petang Selasa).

" Syukur tiga mangsa dapat diselamatkan oleh individu berbaju oren ini yg dikenali sebagai Jai. Salute boss!" ciapnya.

Turut tular, video kemalangan yang memaparkan sebuah kereta milik mangsa jenis Perodua Myvi terjunam ke dalam tasik tersebut.

Kejadian itu berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Dalam video tersebut, kenderaan itu dipercayai mengalami masalah brek kerana dilihat meluncur laju sebelum terjunam ke dalam tasik berkenaan.

Walaupun ia hanya dilihat sebagai sebuah kemalangan biasa, namun muka hero yang menyelamatkan mangsa yang seiras bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menjadi bualan warga maya.

Jika dilihat sekilas pandang, wajah lelaki yang hanya dikenali sebagai Jai mengenakan baju bewarna jingga itu sememangnya mirip Maszlee Malik.

Perkara itu turut dipersetujui seorang netizen, Healmie Zahari.

"Ingatkan YB Maszlee Malik tadi," katanya.

Setakat berita ini ditulis, pihak Majoriti sudah cuba menghubungi Maszlee berkenaan kejadian tersebut untuk mengulas tentang lelaki yang seiras dengannya, namun masih belum ada sebarang respons.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, hero tersebut, Jai atau nama sebenarnya Suzaini Mohd Sadali, 43, seorang penyelia kilang berkata, ketika kejadian dia sedang memandu di sekitar tasik yang dikenali sebagai Tasik Merdeka, sebelum ternampak sebuah kereta di hadapannya terbabas dan terus terjunam ke dalam tasik yang merupakan bekas lombong bauksit.

"Saya kemudiannya memberhentikan kereta dan terlihat mangsa yang terdiri daripada dua wanita di sebelah tempat duduk pemandu dan penumpang belakang, berpaut pada badan kereta sambil menangis.

"Pemandu kereta merupakan seorang lelaki dan dia pula sudah terkapai-kapai. Bila nampak saya, dia menjerit minta tolong, saya terus terjun tanpa berfikir kerana tidak sanggup membiarkan mereka,” katanya.

Suzaini berkata, dia berjaya membawa mangsa lelaki ke tepi tasik sebelum dua lelaki lain yang merupakan orang awam, membantu menyelamatkan kedua-dua wanita itu dengan menarik mereka ke tebing.

"Saya bersyukur kerana kesemua mangsa berjaya diselamatkan daripada lemas. Pengalaman ini sangat berharga buat saya. Saya memang tahu berenang, tidak sangka tasik ini terlalu dalam dan jika kesemua mangsa dibiarkan, mungkin mereka akan terus tenggelam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu, daripada orang awam pada pukul 1.30 tengah hari Selasa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu oleh seorang lelaki bersama dua rakan wanitanya, dalam perjalanan dari Tongkang Pechah menghala ke Batu Pahat.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta itu hilang kawalan lalu terbabas dan terus masuk ke dalam tasik di sebelah kanan jalan, namun dengan bantuan orang awam ketiga-tiga mangsa sempat keluar sebelum kereta tersebut tenggelam.

"Kesemua mangsa yang berusia antara 25 hingga 28 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 kerana gagal mengawal kenderaan semasa memandu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram