Demi kekuatan anak 7 tahun hidap tumor otak, ayah sanggup 'berkhemah' dalam kereta


  • Tular
  • Selasa, 10 Jan 2023

Adi (kiri) dan isteri bersama anaknya, Muhammad Afeef Mikhail (tengah) sebelum kanak-kanak malang itu dikesan mempunyai tumor.

DEMI kasih kepada anak, seorang ayah sanggup berhujan dan panas serta tidur di dalam kereta di sebuah tempat parkir di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak menemani anak bongsunya di hospital berkenaan.

Adi Saifullizam Abdul Sani, 40, berkata, anaknya mula dimasukkan ke hospital sejak Jumaat lalu untuk mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

"Anak saya, Muhammad Afeef Mikhail dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan tumor di kepala. Sekarang masih lagi berada di unit rawatan rapi kanak-kanak untuk pemantauan pihak doktor.

"Buat masa sekarang, saya mengambil pendekatan untuk tidur sahaja di dalam kereta pada waktu malam dan berada bersama isteri serta anak pada waktu siang.

"Senang kalau terjadi apa-apa dan ada keputusan daripada pihak doktor mudah bagi saya," katanya ketika dihubungi Majoriti.

Menurut Adi lagi, selain daripada nak menjimatkan kos, dia ingin selalu berada bersama isteri dan anaknya.

"Untuk saya berulang-alik dari rumah yang terletak di Sungkai ke hospital memerlukan perbelanjaan minyak dan makan sekurang-kurangnya RM60 sehari.

"Kos itu tidak termasuk sewa bilik yang menelan belanja antara RM80 ke RM90 semalaman," jelasnya.

c0fac0ba-c1c3-495e-a1fe-05f55b983595

Muhammad Afeef Mikhail masih lagi berada di unit rawatan rapi kanak-kanak untuk pemantauan pihak doktor.

Anak lelaki bongsu Adi yang berusia 7 tahun itu dikesan mempunyai ketumbuhan dalam otak pada Disember lalu dan sejak itu mereka sentiasa berulang-alik dari hospital.

Dia yang bekerja di salah sebuah kilang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk menemani anak dan isterinya, Aminah Othman setiap kali pergi ke hospital.

Ditanya mengenai kos rawatan, Adi memberitahu, dia juga masih belum pasti kos sebenar untuk rawatan anaknya namun dia juga memerlukan bantuan kewangan kerana mempunyai dua lagi anak untuk ditanggung.

"Kos masih tidak diketahui lagi sebab rawatan masih lama. Saya juga mempunyai dua orang anak lagi yang masih bersekolah ketika ini.

"Buat masa sekarang, kedua-dua anak dijaga oleh keluarga terdekat," katanya.

Sementara itu, Adi juga tidak menyangka kisahnya tidur di dalam kereta kerana mahu menemani anaknya yang sakit kini tular di media sosial.

"Saya mohon doa daripada semua rakyat Malaysia semoga anak saya diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala rawatannya.

"Terima kasih pada yang bersimpati namun saya cuma nak cakap saya tiada niat untuk benda ini tular.

"Semoga apa yang saya buat ini menjadi inspirasi pada bapa-bapa yang lain. Jangan abaikan tanggungjawab ketika kita diuji, kerana kekuatan anak datang dari kekuatan ayah dan ibu," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram