BEKAS Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin merayu perwakilan Umno supaya tidak hanya membiarkan usul tambahan yang dibawa perwakilan Negeri Sembilan, yang mencadangkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.
Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda Umno itu menegaskan tentang peri penting perwakilan dalam Umno supaya tidak melakukan 'Langkah Dewan Merdeka' bagi menentukan masa depan parti tersebut.
Menurutnya, langkah tersebut bakal membunuh demokrasi dan menidakkan suara perwakilan bahagian di akar umbi.
"Petang ini akan ada undian untuk usul tambahan ini dan saya difahamkan ia akan ‘dibulldoze’ (dilanggar).
"Malah, beberapa tag di kerusi di Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan bahagian telah dicabut dan ditanggal supaya perwakilan import boleh dibawa masuk untuk sorak dan ‘bulldoze’ usul supaya ia (jawatan Presiden dan Timbalan Presiden) tidak dipertandingkan.
"Saya merayu kepada perwakilan yang ada di dalam dewan, kita jangan biarkan usul ini lulus terutama jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan. Kita bagi perwakilan di bahagian kebebasan untuk memilih pucuk pimpinan parti yang akan datang," katanya menerusi hantaran video di laman TikTok pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa pemilihan parti yang akan diadakan tidak membawa kepada perpecahan, sebaliknya pihak yang menang akan mendapat mandat serta sokongan daripada parti.
“Kita ketepikan segala perbezaaan selepas selesai pemilihan nanti. Itu budaya kita dalam Umno.
"Pemilihan memang biasa tetapi bila dah menang kita ‘move on’ sebab yang menang akan dapat mandat.
"Kita rapatkan balik saf kita. Jadi naratif yang menyatakan pemilihan membawa kepada perpecahan adalah tidak benar sama sekali," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram