BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, beliau akan terus menyokong kerajaan perpaduan dan Anwar Ibrahim sekiranya dia memenangi jawatan presiden Umno pada pemilihan parti.
Menerusi ciapan bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, Khairy berkata demikian ketika berucap pada satu forum anjuran Institut ISEAS-Yusof Ishak pada Selasa.
Dalam ucapan sama, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan menegaskan sekiranya beliau menjadi Presiden Umno, tiada perubahan dalam jawatan Perdana Menteri namun tidak menolak kemungkinan ada perubahan pada jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Khairy berkata, pemilihan Umno yang akan datang adalah segala-galanya, pemilihan kali ini adalah 3R untuk Umno iaitu 'Reform, Relevan atau Rest In Peace'.
"Jadi kita pergi ke pemilihan ini, dengan harapan dapat menentukan hala tuju baharu untuk Umno," katanya.
Kian Ming turut membuat satu ciapan Khairy berkata, jika beliau menjadi Presiden Umno beliau tidak mahu melihat kerajaan tidak stabil dan berlakunya lagi kerajaan pintu belakang.
“Sekarang ada kebimbangan dan kebimbangan ini disuarakan mereka yang rasional, mengatakan sekiranya ada perubahan kepimpinan Umno, ia akan membawa ketidakstabilan politik.
“Ini kerana ia akan menjurus kepada kejatuhan kerajaan, yang akan membawa kepada satu lagi “Langkah Sheraton” dan kerajaan baharu akan mentadbir dan Perdana Menteri baharu akan angkat sumpah," jelasnya.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu juga menegaskan beliau mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.
Begitupun, Khairy menyatakan masih belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding jawatan Presiden atau tidak.
Menurut Kian Ming lagi, Khairy juga berkata, beliau mahu kerajaan yang ada sekarang terus bertahan dan kekal stabil.
Forum anjuran Institut ISEAS-Yusof Ishak yang diadakan selama lima hari di Singapura menampilkan beberapa personaliti terkemuka dari Malaysia termasuk Menteri Pengangkutan, Athony Loke Siew Fook dan tokoh perbankan, Tan Sri Mohamed Nazir Razak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram