PENDEKATAN yang paling baik untuk pemimpin dalam kerajaan adalah untuk turun padang menyelami masalah rakyat.
Tidak kisahlah sama ada secara tidak rasmi mahupun terbuka bersama dengan pegawai mereka, kehadiran menteri untuk melakukan pemeriksaan mengejut pasti mendapat pujian orang ramai.
Antara yang kerap melakukan pemeriksaan mengejut sebelum ini adalah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang banyak turun padang untuk melihat sendiri pelaksanaan sistem kesihatan terutamanya di klinik kesihatan.
Kerajaan baharu yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilihat beberapa kali turun padang untuk melihat dan berusaha menyelesaikan masalah rakyat.
Berikut Majoriti senaraikan lima pemimpin kerajaan yang turun padang menyelami masalah rakyat walaupun baru beberapa bulan diberi jawatan.
Anwar ketika melawat mangsa banjir di Kelantan baru-baru ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim
Memegang dua jawatan iaitu sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, kesibukan itu tidak akan menghalang Datuk Seri Anwar untuk turun padang bertemu rakyat.
Selain sesi pertemuan yang sering dilakukan pada hari Jumaat, Anwar juga sempat turun melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja, Pasir Mas, Kelantan.
Selain itu, hasil turun padang itu turut membawa kepada pengumuman bantuan segera sebanyak RM100 juta khusus untuk Kelantan dan Terengganu yang dilanda banjir teruk.
Kehadiran Anwar pastinya memberi keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya apatah lagi Kelantan merupakan negeri yang ditunjangi parti pembangkang.
Anthony merasai sendiri suasana menaiki pengangkutan awam ketika waktu puncak.
Anthony Loke Siew Fook
Kalau ditanya siapa menteri yang paling kerap melakukan tinjauan dan pemeriksaan mengejut, sudah pasti nama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang terpacul di mulut.
Malah, tindakannya yang sering menyamar sehingga orang ramai tidak menyedari kehadirannya membuatkan rakyat beranggapan bahawa Anthony sebagai seorang yang sangat jujur dalam melaksanakan kerjanya.
Beberapa kali Anthony melakukan tinjauan mengejut terutamanya melibatkan sistem pengangkutan awam yang akhirnya membawa kepada penemuan sebenar masalah yang dihadapi.
Terbaharu, Anthony membuat lawatan mengejut di KLIA2 dan berjaya mengesan beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian antaranya mendapan tanah di ruang menunggu e-hailing dan sistem pencahayaan yang perlu ditambah baik.
Gambar Dr Zaliha yang tular ketika mengadakan lawatan mengejut di HTAR.
Dr Zaliha Mustafa
Pernah dikecam gara-gara inisiatif menyediakan tuala wanita yang disifatkan sebagai satu idea yang remeh, peranan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mula kelihatan selepas tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.
Dr Zaliha memainkan peranan yang penting dalam memberi maklumat terkini dan bantuan kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat di hospital.
Terbaharu pada Khamis, tular gambar yang memaparkan individu didakwa sebagai Dr Zaliha membuat lawatan mengejut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor.
Warganet mendakwa Dr Zaliha yang berpakaian biasa sempat dilihat berbual dengan beberapa orang di hospital berkenaan.
Adam (kiri) bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika melawat SNBJ.
Adam Adli
Ibarat sudah menjadi budaya untuk sesiapa sahaja yang memegang jawatan menteri dan timbalan di Kementerian Sukan dan Belia (KBS) untuk melakukan tinjauan mengejut ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Itu juga yang dilakukan Timbalan Menteri Sukan dan Belia, Adam Adli yang mahu melihat sendiri fasiliti sukan negara itu.
Tetapi, Adam juga sempat pergi ke SNBJ pada waktu malam untuk melihat sendiri kekurangan yang mungkin boleh diperbaiki bagi memberi peluang kepada rakyat melakukan riadah dengan lebih selamat di sana.
Selain itu, Adam Adli juga beberapa kali dilihat melakukan lawatan mengejut di Jabatan Belia dan Sukan Negeri untuk mendapatkan input masalah yang sedang dihadapi.
Salahuddin sempat melihat bekalan barangan di beberapa kedai runcit sebelum ke pejabatnya.
Datuk Seri Salahuddin Ayub
Isu harga barang antara yang sering menjadi bualan dalam kalangan rakyat sejak negara ditadbir oleh kerajaan baharu.
Perkara itu membuatkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub mengadakan lawatan mengejut ke kedai runcit dan Pasar Awam di Putrajaya.
Tinjauan mengejut itu dibuat ketika Salahuddin dalam perjalanan ke pejabatnya pejabatnya dan dibuat secara mengejut kerana tidak mahu ada sebarang acara keraian.
Susulan lawatan mengejut itu membawa kepada satu mesyuarat bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan esok bagi membincangkan isu bekalan telur bersubsidi di pasaran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram