Kurangkan beban kakitangan sedia ada, KKM wajar tambah jawatan tetap


  • Massa
  • Ahad, 08 Jan 2023

Sebanyak 4,263 jawatan tetap bagi pegawai perubatan dibuka KKM ketika ini.

PENGUMUMAN Kementerian Kesihatan (KKM) menambah sebanyak 4,914 kekosongan jawatan tetap pada tahun ini nampaknya memberi khabar gembira buat pemburu pekerjaan dalam sektor kesihatan.

Apatah lagi, isu penularan wabak Covid-19 global masih belum selesai, ditambah pula dengan beberapa varian baharu yang muncul dari semasa ke semasa.

Bukan itu sahaja, pertambahan kakitangan baharu itu sekali gus mampu memajukan sektor kesihatan.

template - 2023-01-08T155736.525

Abdul Rahman

Perkara itu diakui Abdul Rahman Mohd Nordin dengan berpendapat bahawa, KKM sememangnya perlu melakukan langkah berkenaan untuk mengurangkan beban kakitangan sedia ada dalam mengawal dan merawat penyakit.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) itu mendakwa, meskipun terdapat pembinaan hospital baharu di sesuatu kawasan, namun kekurangan pekerja memaksa khidmat kakitangan dari hospital lain terpaksa dipinjamkan.

"Bila tak cukup kakitangan, mereka akan bekerja dalam keadaan stres seterusnya akan menjejaskan kesihatan.

"Mereka juga terpaksa untuk melakukan lebih kerja dan tidak boleh pulang ke rumah selagi kerja belum disiapkan," katanya kepada Majoriti.

file7flhd08se9v1mymhfhss

Keadaan anggota barisan hadapan KKM yang dilihat keletihan di tempat kerja. — KKM

Menerusi iklan perjawatan KKM yang dibuka bermula Jumaat hingga 21 Januari ini, kekosongan itu membabitkan 4,263 jawatan bagi pegawai perubatan, 355 bagi pegawai pergigian dan 316 bagi pegawai farmasi.

Terdahulu, jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK), Dr Muhammad Yassin dilapor berkata, bilangan doktor di negara ini masih kurang biarpun KKM menawarkan jawatan tetap itu.

Katanya, ia berikutan jumlah itu hanya membabitkan bilangan sedia ada yang hanya bertukar status daripada kontrak kepada lantikan tetap.

Waran jawatan tetap tiada pada 2020

1233438

Kumpulan doktor kontrak menggesa untuk mendapatkan jawatan tetap pada Julai 2021.

Ketika ditanya alasan jawatan tetap itu tidak dibuka semasa saat-saat genting penularan Covid-19 pada tahun 2020, Abdul Rahman menjelaskan bahawa ketika itu waran bagi jawatan tetap masih belum tiada.

"Kakitangan kontrak Perlis diambil secara contract of service.

"Namun, ketika ini, mereka yang pernah berkhidmat dengan KKM secara kontrak boleh memohon jawatan tetap kerana mempunyai pengalaman.

"KKM mungkin akan mengutamakan calon yang pernah melakukan permohonan seterusnya pengambilan akan dibuat secara berperingkat," tambahnya.

Untuk rekod, pada Februari tahun lalu, Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin memaklumkan, Jemaah Menteri bersetuju membuka 4,186 jawatan tetap tambahan diwujudkan di KKM pada 2022.

Jumlah itu membabitkan lantikan 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.

Lantikan bagi perjawatan tetap tambahan bagi tiga bidang terbabit dibuat mulai Jun dan diisi pada Oktober tahun lalu.

Selain itu, hampir 5,000 doktor kontrak membabitkan 948 pakar perubatan dan 4,028 pegawai perubatan dilapor meletakkan jawatan sejak 2016 hingga Jun 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram